fbpx

Nur Aimi akan jalani pembedahan akibat pendarahan dalaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Aimi akan menjalani pembedahan akibat kecederaan dalaman selepas keadaannya stabil terlebih dahulu.

IPOH – Ibu kepada tiga kanak-kanak lelaki yang maut dalam kemalangan di Kilometer 272.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara kelmarin, dijangka menjalani pembedahan berikutan kecederaan dalaman yang dialaminya.

Difahamkan, Nur Aimi Nadiah Abdul Rahim, 27, cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk patah tulang rusuk dan pendarahan serius di bahagian hati.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah berkata, pembedahan ke atas Nur Aimi hanya dilakukan selepas keadaannya dipastikan benar-benar stabil.

Katanya, mangsa yang dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini masih tidak sedarkan diri dan diberi bantuan alat pernafasan.

“Mangsa mengalami pendarahan dalaman terutama di bahagian hati dan keadaannya kini dipantau rapi pasukan perubatan.

“Buat masa sekarang, mangsa ditidurkan sementara menunggu keadaannya stabil sepenuhnya sebelum pembedahan dapat dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan, dalam nahas kira-kira pukul 2.45 petang berhampiran Taman Rekreasi Gunung Lang kelmarin, tiga anak lelaki Nur Aimi Nadiah iaitu Muhammad Adam Hakimi Muhammad Alhafiz, 7; Muhammad Lutfi Hakim, 3, dan Muhammad Affan Hafiy, 1, maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

Nahas menimpa empat beranak itu berlaku apabila kereta jenis Perodua Axia dipandu Nur Aimi Nadiah terbabas lalu melanggar belakang sebuah treler yang berada di lorong kecemasan.

Mayat tiga kanak-kanak itu menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik HRPB sebelum jenazah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Putat, Batu Berendam, Melaka semalam. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI