fbpx

Formula bahagia selama-lamanya Godmothered

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESKIPUN terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, Eleanor sedia meninggalkan Mother Land semata-mata untuk menyelesaikan tanggungjawab, sekali gus diangkat sebagai ibu pari-pari sebenar.

Kehadiran naskhah genre fantasi, kisah pari-pari dan kuasa ajaib dunia magis mudah diterima golongan kanak-kanak. Mungkin kerana cerita sebegitu telah lama diterapkan dalam diri mereka sejak kecil, antaranya menerusi dongeng klasik seperti Cinderella, Beauty and The Beast, Sleeping Beauty ataupun Rapunzel.

Semuanya memaparkan tentang campur tangan sang pari-pari dalam usaha untuk memberikan pengakhiran bahagia selama-lamanya buat watak utama, si puteri dan putera raja. Pari-pari juga menggunakan formula sama iaitu menukar pakaian buruk kepada gaun cantik atau mengubah labu menjadi kenderaan berkuda.

Tiada beza dengan filem fiksyen pari-pari lain, naskhah terbaharu terbitan Walt Disney Pictures dan Secret Machine Entertainment bertajuk Godmothered turut menggunakan jampi yang serupa.
Yang menjadikan naskhah berkenaan berbeza adalah kanak-kanak yang dahulunya percayakan kewujudan pari-pari telah meningkat dewasa dan tidak lagi mempercayai hal sebegitu.
Hal berkenaan menjadi cabaran terbesar buat ibu pari-pari, sekali gus menyelamatkan dunia magis daripada terus dilupakan.

Kisah magis dunia pari-pari dalam penceritaan Godmothered dimulakan dengan suara naratif seorang wanita bernama Agnes (June Squibb) yang memperkenalkan sebuah tempat dikenali sebagai Mother Land.

Dihuni sekumpulan pari-pari, terdapat seorang daripada mereka yang mempunyai keazaman untuk menjadi ibu pari-pari suatu hari nanti.

Dia sanggup melakukan apa sahaja demi merealisasikan hasratnya walaupun terpaksa meninggalkan Mother Land hanya kerana ingin membantu seorang kanak-kanak bernama, Mackenzie Walsh (Isla Fisher).

Kehilangannya dari Mother Land menyebabkan si ibu pari-pari, Eleanor Fay Bloomingbottom (Jillian Bell) bertindak menjejaki Mazkenzie tanpa mengetahui kanak-kanak berusia 10 tahun itu telah berubah menjadi dewasa dan mempunyai dua orang anak.

Kehidupan dewasa Mackenzie bagaimanapun tidak begitu baik dek kesibukan tugas sebagai penerbit rancangan di sebuah stesen televisyen. Dia lebih fokus terghadap kerjaya berbanding keluarga.

Bermula dari situ, Eleanor berusaha untuk memberikan pengakhiran bahagia selamanya buat Mackenzie sekeluarga namun usahanya sering berdepan kegagalan sehingga mencetuskan pelbagai insiden lucu menimpa Mackenzie.

Tidak dinafikan, karya arahan Sharon Maguire tersebut mengimbau semula kenangan filem Enchanted, juga terbitan Disney pada 2007. Kekeliruan berlaku apabila individu dari dunia fantasi ‘hidup’ di alam realiti.

Memaparkan nilai kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan, filem berkenaan cuba berkata, pengakhiran bahagia selama-lamanya sebenarnya boleh diperoleh dari dalam diri tanpa perlu menggunakan kuasa magis.

Hal tersebut dapat dilihat apabila Mackenzie berjaya membebaskan dirinya daripada kepompong kisah silam sekali gus yakin dengan kemampuan sendiri.

Sedikit kekurangan mungkin dapat dikesan pada aspek imej janaan komputer (CGI), khususnya ketika adegan Eleanor berusaha mengimbangi badan tetapi hilang kawalan dan melanggar beberapa rak sewaktu mencari dokumen tugasan di sebuah perpustakaan.

Babak bagaimanapun seketika dan tidak mencacatkan filem. Cuma mungkin ada penonton sedikit ralat memandangkan kebanyakkan naskhah Disney memiliki kualiti CGI yang sangat memuaskan dan kelihatan realistik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI