fbpx

MAHB yakin pemulihan trafik penumpang KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Malaysia Airports menerajui komuniti penerbangan untuk menyumbang kepada golongan memerlukan. - Gambar hiasan

SEPANG – Malaysia Airports optimis terhadap pemulihan se­cara beransur-ansur bagi tra­fik penumpang di lapangan terbangnya susulan beberapa pe­nyambungan semula operasi dan pengenalan laluan baharu daripada syarikat penerbangan seluruh negara.

Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkata, pada bulan lalu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menyambut kembali pener­bangan Cathay Pacific selepas tiga tahun terhenti.

“Cathay Pacific menawarkan penerbangan secara mingguan ke Hong Kong dari Kuala Lumpur.

“KLIA juga menanti penerba­ngan sulung Starlux Airlines da­ri Taipei pada Januari tahun depan.

“Penerbangan baharu ini adalah sebagai tambahan kepada la­luan Taipei-Penang yang bermula awal tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Selain itu, AirAsia Indonesia ingin meneruskan operasi pener­bangannya dari Kuala Namu ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang berkuat kuasa bulan ini.

Jelas MAHB, menerusi sambungan semula itu, AirAsia In­donesia menjadi syarikat pe­nerbangan asing keenam meneruskan operasinya di Pulau Pinang.

Tambah kenyataan itu, syarikat penerbangan komuniti tempatan Firefly akan mula ber­­operasi di Pulau Pinang sebagai hab kedua de­ngan memperkenalkan laluan baharu ke Kuching dan Kota Ki­na­balu mulai Januari 2021.

“Perkembangan menggalakkan ini telah memberikan pandangan optimis terhadap pemulihan dalam sektor penerbangan.

“Dengan pemansuhan larangan perjalanan antara negeri dan antara daerah baru-baru ini, ditambah musim percutian panjang akan datang, kami menjangkakan pergerakan penumpang bertambah baik pada bulan ini,” katanya.

Di samping itu, MAHB telah memperkenalkan satu lagi inisiatif untuk pengunjung lapangan terbang merasai pengalaman menjamu selera dengan selamat dalam bentuk sistem pesanan dan pembayaran tanpa sentuhan di kedai makanan dan minuman.

“Teknologi baharu ini akan dilancarkan di rangkaian lapangan terbang secara berperingkat bermula dengan KLIA.

“MAHB mengakui, pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan pada bulan lalu memberi kesan kepada pemulihan trafik penumpang,” katanya.

Di samping itu, MAHB berkata, operasi kargo menunjukkan ketahanan dengan mencatatkan rekod purata 65,000 metrik tan sebulan dari Januari hingga November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI