fbpx

2021 masa untuk rakyat bersuara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MUSTAPA LAKAWA, PENGARANG BERITA KOSMO.

350 hari yang lalu, seluruh rakyat Malaysia meraikan kemuncak kepada kehadiran tahun 2020 dengan sambutan penuh warna-warni dan kilauan bunga api.

Ketika itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali bersama-sama ribuan warga Putrajaya berkumpul dan bersorak gembira sebagai tanda kesyukuran.

Kegembiraan itu adalah simbolik kepada penantian 32 juta rakyat Malaysia yang telah sekian lama mengimpikan sebuah frasa keramat dikenali Wawasan 2020.

Bagaimanapun, wawasan hanya tinggal wawasan. Impian dan harapan yang dibina sejak berpuluh tahun lamanya secara perlahan-lahan hilang ditelan masa. Semuanya telah berakhir.

Yang bermula hanyalah sebuah ‘musibah global’ yang menghantui 7.8 bilion umat manusia. Dari sekecil-kecil negara seperti Brunei sehinggalah negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, tiada yang terselamat daripada pandemik ini.

Benar, Covid-19 telah menguasai dan membunuh semua mimpi-mimpi indah pada tahun 2020.

Hakikatnya, tahun 2020 bukanlah semata-mata tentang Covid-19. Rakyat di seluruh dunia khususnya Malaysia pasti mengenang tahun ini sebagai tahun ‘musibah politik’.

Pada tahun ini rakyat disajikan pelbagai drama menggemparkan dan penuh bersejarah. Krisis politik bermula pada Februari lalu menerusi ‘kerjasama’ beberapa ahli politik yang digelar sebagai Langkah Sheraton.

Percaturan politik baharu itu menyaksikan Tun Mahathir hilang kuasa sebagai Perdana Menteri, manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai pemimpin nombor satu Malaysia.

Rentetan perubahan di peringkat persekutuan memberi kesan besar kepada lanskap politik di kebanyakan negeri Johor, Kedah, Melaka, Sabah dan terbaharu, Perak adalah antara yang terkesan.

Pemimpin nombor satu di peringkat negeri bertukar sekelip mata. Melainkan Sabah yang melalui sistem demokrasi sah, empat negeri mengalami perubahan tanpa melibatkan suara majoriti rakyat. Ironinya, yang menentukan kuasa ketika ini bukan lagi rakyat, tetapi pemain politik yang penuh muslihat.

Sebagai timbal balik kepada perubahan yang dicetuskan ahli politik ini, maka rakyat dihadiahkan dengan pelbagai janji-janji manis yang dihiasi dengan slogan ‘Demi Rakyat’.

Kemahuan rakyat, kebajikan rakyat dan impian rakyat seolah-olah menjadi bahan mainan kepada kumpulan politikus yang gilakan kuasa.

Tidak mengapa. Perubahan penuh bersejarah ini akan dikenang seluruh rakyat Malaysia. Kerapuhan sistem demokrasi akan diperbetulkan, manakala suara rakyat akan kembali ke asasnya sebagai penentu sebenar kerajaan pada tahun 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI