fbpx

Michelle Yeoh bintangi filem adiwira Asia pertama Marvel, Shang-Chi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAKON Michelle Yeoh akan muncul dalam filem terbaharu Marvel, Shang-chi pada tahun depan.

PETALING JAYA – Pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh mengesahkan akan berlakon dalam filem Shang-Chi and Legend of the Ten Rings sekali gus menjadi pelakon Malaysia pertama terlibat karya Marvel Cinematic Universe.

Disney pada Khamis lalu secara rasmi mengumumkan bahawa Yeoh akan beraksi dalam filem berkenaan bersama pelakon Simu Liu yang memegang watak komik adiwira Shang-Chi.

“Akhirnya rasmi yang saya akan menjadi sebahagian dalam filem Shang-Chi, filem adiwira Asia pertama. Terima kasih Marvel. Terima kasih kepada penerbit, barisan pelakon dan kru kerana menjaga kami dengan selamat pada waktu sukar sekarang.

“Terima kasih Sydney untuk langkah pencegahan dan peraturan jarak sosial yang lancar. Ia satu perjalanan istimewa, pertemuan semula dengan kawan lama yang hebat, peluang yang indah untuk bikin yang baharu dan terinspirasi dengan bakat-bakat muda.

“Ingat, bersama kita boleh dan akan buat yang lebih baik dan menjadi lebih kuat. Saya tidak sabar untuk tengok anda semua di panggung nanti,” tulis Yeoh menerusi satu hantaran status dalam Instagram.

Yeoh akan melakonkan watak bernama Jiang Nan dan filem berkenaan dijadualkan akan ditayangkan pada 9 Julai 2021.

Penggambaran Shang-Chi selesai awal tahun ini setelah pihak produksi terpaksa menangguhkannya seketika akibat wabak Covid-19.

Diarahkan oleh sutradara Destin Daniel Cretton, filem tersebut memperkenalkan watak adiwira Shang-Chi dalam Marvel Cinematic Universe iaitu watak daripada komik yang diterbitkan pada tahun 1973.

Filem berkenaan juga menampilkan Tony Leung sebagai penjahat legenda yang mengetuai organisasi pengganas Ten Rings.

Dilahirkan di Ipoh, Perak, Yeoh mula dikenali di peringkat antarabangsa selepas membintangi filem James Bond Tomorrow Never Dies (1997), Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) dan filem biopik Aung San Suu Kyi The Lady (2011). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI