KOTA BHARU – Kerajaan negeri menyasarkan kehadiran seramai 20,000 pelancong domestik ke Kelantan setiap minggu susulan pergerakan rentas negeri dan daerah di seluruh negara tidak memerlukan kebenaran polis mulai 7 Disember lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, sasaran itu diharap dapat kembali membangunkan semula industri pelancongan sempena Tahun Melawat Kelantan 2020.
Menurutnya, kerajaan giat merancakkan semula pelancongan di negeri ini sekali gus dapat memberi kesan positif kepada penggiat industri yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.
“Selepas kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri sejak seminggu lalu, kita menyasarkan seramai 10,000 hingga 20,000 individu datang ke negeri ini sekaligus merancakkan kembali industri pelancongan domestik.
“Terdapat beberapa tempat yang menarik boleh dilawati, antaranya Jeram Mengaji yang terletak di Pasir Puteh apabila suasananya seperti berada di Kundasang, Sabah.
“Selain itu, kita juga sedang menaik taraf dan membina rumah penginapan di Kolam Air Panas Tok Bok yang terletak di Machang dan juga Zoo Mini di Kuala Krai yang dijangka siap pada awal tahun hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Menurut Md. Anizam, dana sebanyak RM5 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat dan juga negeri untuk menaik taraf beberapa produk pelancongan yang terdapat di Kelantan. -K! ONLINE














