SEBERANG PERAI – Seorang penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah sebuah kereta ketika terlibat kemalangan di Kilometer 138.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Seberang Jaya di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 pagi itu merupakan seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya berikutan tiada pengenalan diri ditemui.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kejadian itu membabitkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan kereta jenis Perodua Axia yang berlaku ketika cuaca baik.
“Terdapat kesan seretan di atas jalan dan mangsa ditemui di bawah Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 22 tahun.
“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, mayat mangsa berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai yang menggunakan peralatan khas menyelamat pada pukul 3.06 pagi. – K! ONLINE














