fbpx

Seniman minta SKMM sekat filem Babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafiz menunjukkan laporan polis yang dilakukannya berhubung isu penghasilan filem yang menggunakan judul Babi dan didakwa terlibat dalam memalsukan dokumen permit SPP.

KUALA LUMPUR –  Persatuan Seniman Malaysia membuat laporan polis berikutan penghasilan filem yang menggunakan judul Babi dan didakwa terlibat dalam memalsukan dokumen permit Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Laporan polis dibuat di Balai Polis Taman Melawati di sini terhadap penyanyi dan pengarah filem, Wee Meng Chee atau Namewee.

Setiausaha Agong Seniman, Hafiz Nafiah, turut menggesa pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana kerap menghasilkan filem berunsur perkauman termasuk filem terbaharunya itu.

“Saya mewakili pihak Seniman membuat laporan polis terhadap Namawee atas beberapa faktor, pertama ialah pemalsuan dokumen oleh syarikat yang menerbitkan filem Babi. Ketika Namawee membuat permohonan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dia menggunakan tajuk Sekolah sebelum menukar kepada Babi.

“Seharusnya dia ingin menukar tajuk filem terbabit dia perlu melalui permohonan sekali lagi. Seniman juga menggesa pihak berkuasa menahan dan menyiasat Namawee disebabkan kerap menerbitkan filem-filem berunsurkan perkauman termasuk filem terbaharunya, Babi yang memaparkan jalan cerita yang kononnya Malaysia mempunyai masalah atau krisis kaum,” katanya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Hafiz, pihaknya juga kesal apabila Babi ditayangkan di luar negara dan ini secara tak langsung telah mencalarkan imej serta maruah negara.

“Difahamkan filem itu sudah ditayangkan di Taiwan dan ini memburukkan imej negara sedangkan kita semua hidup dalam keadaan harmoni.

“Kami juga ingin meminta pihak Jabatan Imegresen untuk mengambil tindakan sewajarnya serta menyeru pihak Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk menyekat saluran YouTube Namawee dan sebarang jenis video atau apa saja bahan yang berkaitan dengan filemnya.

“Perkara ini perlu dibendung sebelum ia ditayangkan lebih meluas di luar negara, jadi SKMM perlu menyekat secara keseluruhan akaun media sosial Namewee dan kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses oleh rakyat Malaysia melalui Facebook, Youtube dan Instagram miliknya,” katanya.

Bagaimanapun, Hafiz enggan mengulas lanjut kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa dan juga Finas.

Filem Babi ditayangkan di Taiwan pada 20 November lalu berkisarkan kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia sekitar 2000.

Pada masa sama, filem Babi telah tercalon dalam empat festival filem antarabangsa, iaitu Open World Toronto Film Festival (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Best Feature Film), International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival (Best Original Film Song).

Terdahulu, Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan telah membuat laporan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap Namewee berkenaan poster filem terbarunya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI