fbpx

Kekayaan 261 bilionair bertambah AS$1 trilion semasa pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ORANG ramai menyertai protes untuk mendesak cukai lebih tinggi terhadap golongan bilionair di New York pada 17 Julai lalu. – AFP

NEW YORK – Kekayaan bilionair-bilionair Amerika Syarikat (AS) meningkat lebih AS$1 trilion (RM4.06 trilion) sejak pandemik koronavirus bermula, demikian menurut satu kajian kelmarin dalam perkembangan yang mencetuskan perdebatan sama ada golongan kaya wajar dikenakan cukai lebih tinggi.

Institut Kajian Dasar dan Keadilan Cukai Amerika (AFF) menyatakan, kekayaan terkumpul seramai 651 bilionair di AS melonjak daripada AS$2.95 trilion (RM11.98 trilion) pada 18 Mac lalu kepada AS$4.01 trilion (RM16.28 trilion) Isnin lepas.

“Tidak pernah lagi Amerika menyaksikan begitu banyak kekayaan dibolot oleh cuma segelintir.

“Keuntungan mereka semasa pandemik sungguh besar sehinggakan bilionair-bilionair AS ini mampu membiayai pakej kewa­ngan Covid-19 dan tidak hilang walau satu sen pun kekayaan yang dikumpul sebelum koronavirus melanda,” kata Pengarah Eksekutif ATF, Frank Clemente

Pada Selasa lepas, White House memperkenalkan usul pakej rangsangan berjumlah AS$916 bilion (RM3.71 trilion)dalam usaha terakhir memecah kebuntuan selama sebulan berhubung bantuan baharu kepada ekonomi AS yang terjejas akibat koronavirus sebelum Presiden Donald Trump berundur pada Januari tahun depan.

Cadangan baharu itu lebih besar daripada pakej AS$908 bilion (RM3.68 trilion) yang diusulkan oleh sekumpulan senator pada minggu lalu.

“Kekayaan AS$1 trilion itu dapat digunakan untuk membuat bayaran bantuan Covid-19 seba­nyak AS$3,000 (RM12,183) kepada sekitar 300 juta rakyat AS,” kata Clemente.

Kajian itu menyemarakkan lagi perdebatan hangat sama ada AS perlu mengenakan cukai lebih tinggi terhadap golongan kaya bagi merapatkan jurang ketidaksamaan pembahagian kekayaan.

Sebagai rekod, wakil rakyat Parti Demokrat, Alexandria Ocasio-Cortez mengusulkan supaya cukai lebih tinggi dikenakan di New York. New York se­perti negeri-negeri lain di AS kini berdepan krisis bajet disebabkan pandemik Covid-19.

Satu kajian yang disiarkan oleh bank UBS dan firma perakaunan, PwC pada Oktober lalu mendapati kekayaan terkumpul bilionair di seluruh dunia pula berjumlah AS$10.2 trilion (RM41.42 trilion) sekali gus rekod baharu. Rekod sebelum ini pada 2017 ialah AS$8.9 trilion (RM36.14 trilion).

Pandemik koronavirus menyebabkan pasaran saham runtuh Mac lalu, namun melonjak kembali dalam sektor teknologi dan kesihatan yang menyaksikan bilionair-bilionair berkaitan mendapat durian runtuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI