fbpx

K2

Survival pelukis musim Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN HAIRUDDIN tekun menyiapkan lukisannya yang dilakar menggunakan pensel.

DARI satu sudut kelihatan seorang lelaki berusia separuh abad memegang pensel dengan teliti sambil melakar sesuatu di atas kertas putih di hadapannya.

Jelas kelihatan di atas kertas itu terlakar sebuah lukisan gambaran suasana pasar pagi yang masih belum disiapkan sepenuhnya Wan Hairuddin Wan Yaacob.

Menjadi rutin buat Wan Hairuddin untuk menghabiskan masa hujung minggunya di Artists’Corner@amcorp yang terletak di pusat membeli-belah Amcorp Mall, Petaling Jaya, Selangor untuk dia berkarya menghasilkan lukisan.

“Lukisan yang saya hasilkan berkonsepkan kehidupan masyarakat di Malaysia. Saya menterjemah apa yang saya perhatikan ke dalam bentuk lukisan.

“Saya sendiri ada beberapa siri lukisan suasana pasar pagi di Pasir Mas, Kelantan. Saya pernah ke pasar itu beberapa kali memandangkan isteri saya berasal dari sana. Apa yang saya perhatikan di sana, itulah saya terjemahkan ke dalam bentuk lukisan,” katanya yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang kepada K2.

Tambahnya, dia menggunakan gabungan pensel dan warna air sebagai identiti setiap hasil karya lukisannya.

Wan Hairuddin meluahkan, penularan pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan terhadap survival kehidupan para pelukis.

Tegasnya, lukisan merupakan sumber rezeki utamanya untuk menyara keluarga setelah memilih untuk menjadi pelukis secara sepenuh masa sejak lapan tahun lalu.

“Saya adalah pelajar lulusan kejuruteraan dan pernah berkhidmat di beberapa syarikat telekomunikasi. Tetapi kerana minat yang mendalam dalam bidang lukisan membuatkan saya memutuskan untuk berhenti kerja dan menjadi pelukis sepenuh masa.

“Saya pernah berada di zon selesa di mana setiap bulan tidak perlu runsing memikirkan soal gaji bulanan. Tetapi setelah menjadi pelukis secara sepenuh masa, ia sedikit sukar kerana punca pendapatan tidak menentu. Tetapi melukis tetap memberi kepuasan dan ketenangan yang tersendiri buat diri saya,” bicaranya.

PARA pelukis yang menyertai Artists’Corner@amcorp memanfaatkan ruang tersebut yang terletak di Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk mempamer dan menjual lukisan mereka.- Foto FARIZ RUSADIO

Wan Hairuddin berkata, tidak dapat dinafikan pandemik Covid-19 sedikit sebanyak telah menyebabkan jualan hasil karyanya terjejas.

Katanya, pelukis memerlukan ruang pameran bagi membolehkan hasil karya mereka terjual tetapi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan amat sukar untuk mereka menjualnya.

“Berbeza dengan produk lain yang boleh dijual melalui platform online, peminat lukisan kebiasaannya akan melihat dengan mata mereka dahulu untuk menilai sebelum melakukan pembelian.

“Itulah pentingnya ruang-ruang pameran bagi pelukis seperti kami untuk menjual hasil-hasil karya. Sewaktu PKP, ruang-ruang pameran banyak ditutup dan sekali gus memberi kesan kepada kami,” ujarnya.

Namun, Wan Hairuddin bersyukur dengan adanya Artists’Corner@amcorp kini, setiap minggu hasil karyanya dapat dijual.

Seorang lagi pelukis di situ, Nor Aishah Alli, 38, berkata, dengan adanya Artists’Corner@amcorp, ia memberi ruang dan peluang kepada pelukis untuk kembali memasarkan hasil karya mereka.

Seperti mana Wan Hairuddin, Nor Aishah berkata, pandemik Covid-19 ternyata memberi kesan yang besar kepada para pelukis sepenuh masa seperti dirinya.

“Lukisan ini bukannya sesuatu barang yang boleh terjual hari-hari. Malahan, ada masanya tiada langsung hasil karya pelukis terjual dalam tempoh sebulan. Sewaktu pandemik ini, lagilah bertambah sukar. Sedangkan dengan hasil jualan lukisan inilah yang menjadi sumber pendapatan kami,” ujarnya.

Kongsi Nor Aishah, sewaktu PKP dilaksanakan, banyak pameran seni terpaksa dibatalkan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

“Sepatutnya bulan Oktober lalu saya perlu pergi ke Turki bagi menyertai pameran seni di sana tetapi disebabkan pandemik ini, ia dibatalkan.

“Selain itu, pameran-pameran seni di dalam negara yang telah diatur dan dirancang sebelum ini juga mengalami nasib sama,” jelasnya yang berasal dari Ipoh, Perak.

Nor Aishah menambah, kesan daripada pandemik ini juga telah menyebabkan ramai pelukis terpaksa menurunkan harga hasil karya mereka sehingga 30 peratus.

Sebelum pandemik Covid-19, hasil jualan karya seni amat memberangsangkan. Namun, setelah Covid-19 melanda, ramai orang mengambil jalan untuk berjimat-cermat.

“Kami pelukis harus menurunkan harga bagi membolehkan hasil-hasil karya ini terjual. Saya sendiri terpaksa menurunkan harga sehingga RM700 untuk salah satu karya saya.

“Begitu juga rakan-rakan pelukis yang lain, mereka juga terpaksa berbuat demikian,” tegasnya.

Nor Aishah berkata, dia sendiri mengambil inisiatif lain bagi menambah pendapatan.

KARYA-KARYA lukisan dengan pelbagai genre, tema dan medium warna terdapat di situ.

Sewaktu PKP dilaksanakan sehingga kini, dia turut mengajar melukis dengan menggunakan platform online.

“Pelukis perlu kreatif dalam menambah pendapatan sewaktu situasi sukar ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengasas Artists’Corner@amcorp, Khalid Mohd. Sapari, 49, berkata, idea menubuhkan Artists’Corner@amcorp sebenarnya telah tercetus sejak lima tahun lepas lagi.

Namun, disebabkan beberapa kekangan, idea itu tidak dapat direalisasikan.

“Tapi saya bersyukur dengan izinNya tempat ini dapat direalisasikan pada saat-saat sukar ini.

“Melalui Artists’Corner@amcorp, ia sedikit sebanyak dapat membantu pelukis-pelukis memasarkan hasil karya mereka,” jelasnya.

Tambahnya, dia menyedari bahawa rata-rata pelukis berhadapan dengan situasi sukar pada masa ini dan mereka memerlukan ruang untuk mempamerkan hasil-hasil karya bagi tatapan umum agar ia terjual.

KHALID menerangkan mengenai lukisan dan hasil karya yang terdapat di ruang pameran itu.

Buat masa ini, seramai 10 pelukis terlibat dengan Artists’Corner@amcorp yang beroperasi pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 11 pagi hingga 7 malam.

Khalid menjelaskan, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih dilaksanakan, mereka harus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Buat masa ini hanya 10 pelukis terlibat bagi membolehkan penjarakan sosial dilaksanakan. Tetapi apabila pandemik ini berakhir, kami akan menambah jumlah pelukis.

“Setiap pelukis di sini berbeza genre lukisannya bagi memberi kepelbagaian pilihan kepada pengunjung,” jelasnya.

Khalid berharap, tempat itu akan menjadi hab seni untuk para penggiat seni lukis tempatan.

Dalam perkembangan lain, Khalid menjelaskan, dia juga mahu pelukis-pelukis di situ memvariasikan hasil karya mereka.

“Saya juga meminta mereka menghasilkan produk-produk lain seperti magnet peti sejuk, poster premium, poskad dan buku nota yang menggunakan hasil lukisan mereka sebagai motif utama untuk dijual.

“Ini kerana kemampuan setiap orang untuk membeli berbeza-beza. Ada yang mampu membayar pada harga yang tinggi dan ada yang sebaliknya. Jika wujud produk-produk sampingan sebegini, ia akan mempelbagaikan pilihan kepada orang ramai,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI