fbpx

Pegawai Imigresen makan rasuah didakwa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alias

SHAH ALAM – Seorang pegawai Imigresen yang terlibat dalam rasuah bernilai RM22,000 bagi melepaskan dua warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menggunakan cop palsu bakal didakwa di Mahkamah Sesyen di sini esok.

Suspek berusia 26 tahun dan merupakan pegawai Imigresen Gred 19 sebelum ini direman tujuh hari bermula Khamis lalu.

Menurut sumber, perbuatan pegawai imigresen itu bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negara ini akibat pandemik Covid-19.

Katanya, suspek yang bergerak secara sendirian itu didapati cuba meraih untung secara sendirian tanpa bergerak bersama 39 individu yang ditangkap dalam Ops Selat sebelum ini.

“Suspek dikatakan mampu meraih untung sebanyak RM6,000 bagi satu individu yang dilepaskan selepas ditahan oleh Jabatan Imigresen di KLIA khususnya dalam pemalsuan cop Imigresen bagi proses masuk dan keluar negara,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi menegaskan pihaknya telah mendapat kebenaran bagi proses pendakwaan berkenaan yang akan dilaksanakan esok.

“Suspek akan didakwa pukul 9 pagi esok mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009,” jelasnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pegawai Imigresen yang bertugas di bahagian operasi KLIA ditahan pukul 7.45 malam pada Rabu lalu di Petronas KLIA.

Penahanannya berikutan disyaki meminta rasuah sebanyak RM22,000 bagi melepaskan dua warga China yang ditahan atas kesalahan menggunakan cop palsu. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI