fbpx

K2

Pendakian ke puncak Soh Wai Ching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAI CHING disahkan sebagai pemegang Guinness World Records untuk cabaran pendakian tangga menegak dalam tempoh satu jam (lelaki) dengan jarak 1.295 kilometer baru-baru ini.

“SETIAP kali melihat nama-nama individu yang berjaya tersenarai di dalam Guinness World Records (GWR), saya akan teruja.

“Pada waktu itu, saya mula memasang impian untuk turut disenaraikan di situ satu hari nanti,” cerita atlet larian menara, Soh Wai Ching kepada K2.

Bukan sekadar angan-angan kosong, pemuda berusia 26 tahun itu berjaya merealisasikan impian tersebut apabila namanya kini terpateri kemas di dalam GWR selepas kejayaannya memecahkan rekod dunia pendakian tangga menegak dalam tempoh satu jam (lelaki) pada awal minggu lalu.

Kejayaan itu ternyata bukan biasa-biasa apabila dia bukan sahaja berjaya menempatkan namanya sebaris individu-individu hebat lain, malahan memperkenalkan sukan larian menara kepada masyarakat di negara ini.

Sukan larian menara merupakan sukan yang melibatkan larian memanjat struktur binaan buatan manusia.

LARIAN menara memerlukan Wai Ching mendaki beratus-ratus tingkat bangunan.– Foto MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Menerusi rekod yang diciptanya, Wai Ching berjaya menghabiskan larian menegak di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur dengan jarak sejauh 1.295 kilometer (km), bersamaan 399 tingkat dalam tempoh satu jam.

Wai Ching berlari dari aras bawah hingga ke tingkat atas bangunan 66 tingkat itu sebelum mengambil lif ke tingkat bawah dan dilakukan secara berulangan sebanyak empat kali dari pukul 9 hingga 10 malam menjadikan jumlah tingkat lariannya ialah 399 tingkat.

Kejayaan itu lantas membolehkannya melebur rekod dunia pelari menara dari Sepanyol, David Robles iaitu sejauh 1.227km dalam tempoh sejam.

“Dahulu sewaktu saya suarakan hasrat untuk serius dalam bidang sukan, keluarga terutamanya ayah tidak begitu menyokong.

“Mereka menyarankan saya untuk terokai bidang lain yang dilihat lebih menjamin masa depan.

“Kerja keras ini ternyata berbaloi apabila sedikit demi sedikit saya berjaya membuktikan kepada mereka bahawa saya boleh pergi jauh dalam bidang ini.

“Lebih menggembirakan, saya bukan sahaja berjaya membuatkan mereka bangga, tetapi juga masyarakat di negara ini apabila menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi pertandingan sukan menara,” katanya lanjut.

Cerita Wai Ching lagi, dia mula diperkenalkan dengan sukan larian menara oleh seorang rakan pada tahun 2014.

WAI CHING (kanan) perlu melakukan pemeriksaan oksigen sebelum sesuatu pertandingan.

Ketika itu, rakannya mengajak Wai Ching menyertai KL Tower International Towerthon Challenge 2014 di Kuala Lumpur.

“Saya menyertainya sekadar suka-suka kerana tidak tahu apa itu sukan larian menara. Bagaimanapun, pada tahun 2017, rakan sekali lagi mengajak saya menyertai KL Tower International Towerthon Challenge 2017 dan saya sahut cabaran tersebut.

“Misi saya pada waktu itu adalah untuk buat yang terbaik dan menang. Saya berjaya mendapat tempat kedua keseluruhan dan peserta Malaysia terbaik dalam perlumbaan tersebut,” jelasnya.

Bercerita lanjut menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaya itu lagi, sepanjang lebih tiga tahun melibatkan diri dalam sukan larian menara, dia telah menyertai hampir 50 pertandingan di seluruh dunia.

Antara pertandingan disertainya ialah La Verticale de la Tour Eiffel 2018 dan 2019; Towerrunning World Championship 2018 di Taipei 101, Taiwan; Seoul Lotte Tower SkyRun 2019 di Seoul, Korea; Subida Vertical Gran Hotel Bali 2019, Benidorm, Sepanyol dan 42nd Edition of Empire State Building Run Up 2019 di New York, Amerika Syarikat.

WAI CHING di sisi bapa, Soh Key Thee dan ibu, Tan Lai Siam yang semakin berbangga dengan pencapaiannya dalam sukan.

Begitupun, Wai Ching menjelaskan dia masih belum puas dan mengimpikan untuk memanjat menara-menara tertinggi dunia lain terutamanya Burj Khalifa di Emiriyah Arab Bersatu selain Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.

Setiap kali mendengar atlet tajaan Tenaga Nasional Berhad ini bercerita mengenai ratusan tingkat yang didakinya dalam setiap pertandingan, mulut kami terlopong kagum.

Teruja untuk mengetahui rahsia kekuatan staminanya, lelaki berasal dari Selayang, Selangor itu menjelaskan dia tiada apa-apa rahsia.

Sebaliknya, pengalaman berjalan kaki ke sekolah banyak membantu dan membentuk stamina serta kekuatan fizikal dan mentalnya dalam sukan itu hari ini.

“Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana yang mana ketika kecil, saya akan ke sekolah dengan berjalan kaki.

“Setiap pagi, saya akan bangun seawal pukul 6 pagi untuk berjalan sejauh 5km. Jarak perjalanan itu pula mengambil masa kira-kira 40 minit sebelum tiba di sekolah,” ujarnya.

Kata Wai Ching lagi, sebaik mengambil keputusan untuk aktif dalam larian menara, dia memantapkan momentum larian dengan menjalani latihan secara berdisiplin.

“Dalam seminggu, saya akan membuat latihan mendaki tangga sebanyak empat kali yang mana setiap sesi latihan memerlukan saya mendaki antara 200 hingga 300 tingkat.

“Selain tangga, saya juga membuat larian di jalan raya, stadium atau taman-taman sejauh 40 hingga 50km seminggu,” jelasnya.

Katanya lagi, biarpun di negara luar sukan ini sudah begitu popular, namun ia tidak begitu menonjol dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Di negara luar, ia sudah begitu popular tetapi di negara ini masih ramai yang tidak tahu walaupun sukan ini boleh pergi jauh.

“Disebabkan itu juga saya kini bergiat aktif menyertai mana-mana pertandingan yang ada. Bukan sahaja kerana minat, ini juga dilakukan demi memberi pendedahan kepada rakyat di negara ini mengenai sukan ini,” katanya.

Harapan Wai Ching, kejayaan yang dilakarnya mampu memberi inspirasi kepada anak-anak muda di luar sana untuk mencuba dan melibatkan diri dalam sukan larian menara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI