fbpx

Jururawat maut kenderaan PKD terlibat kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut.

Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

PEKAN – Seorang pemandu dan seorang jururawat meninggal dunia dalam nahas tiga kenderaan di Kilometer 32 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin dekat Kampung Tanjung Batu di sini pagi tadi.

Pemandu, Mohd. Zuhairi Abdullah, 35, yang memandu kenderaan milik Pejabat Kesihatan Daerah Pekan serta jururawat, Julayha Kudus, 39, disahkan maut di tempat kejadian pada pukul 10.20 pagi itu.

Sementara itu, rakan sekerja mereka yang merupakan Pegawai Perubatan Daerah, Dr. Muhd. Ikhwan Ramlee, 29, mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk rawatan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd. Razli Mohd. Yusof berkata, pacuan empat roda jenis Toyota Hilux berkenaan dirempuh sebuah lori tangki yang terbabas memasuki laluan bertentangan.

“Kemalangan berlaku apabila lori tangki dalam perjalanan dari arah Rompin ke Kuantan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

“Lori berkenaan merempuh kenderaan dinaiki mangsa yang maut serta sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi,” ujar beliau melalui kenyataan kepada pemberita di sini hari ini.

Ujar beliau lagi, pemandu Perodua Myvi yang merupakan seorang suri rumah, Azlida Mohamad Ramli, 41, serta anaknya, Nur Mawaddah Mazuha, 5, mengalami cedera kepala, tangan dan muka.

Kedua-dua ibu dan anak tersebut dirawat di Klinik Kesihatan Nenasi dekat sini, manakala seorang lagi anaknya, Ahmad Qardhawi Najmi, 12, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pontian, Kuala Rompin tidak mengalami kecederaan.

Tambah beliau, pemandu lori tangki berkenaan yang berusia 34 tahun dan berasal dari Mersing, Johor turut tidak mengalami kecederaan.

“Pos mortem punca kematian masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI