fbpx

Hadir solat jenazah punca pelajar dijangkiti Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menjalankan tugasan saringan di Kampung Gong Kala dekat Kampung Dalam Huma, Pasir Puteh hari ini.

PASIR PUTEH – Penularan wabak Covid-19 di Pusat Pengajian Pondok Madrasah Addiniah Al-Falhiah Kampung Dalam Huma, Bukit Awang di sini dipercayai berpunca selepas pelajar sekolah itu memenuhi undangan solat jenazah di Kampung Pahi, Kuala Krai baru-baru ini.

Penularan wabak di kawasan itu sekali gus mencetuskan kluster baharu di negeri Kelantan iaitu Kluster Huma.

Tenaga Pengajar Kanan pondok berkenaan, Mohd. Safian Mustafa berkata, kira-kira seramai 40 orang pelajar termasuk guru ke sana baru-baru ini untuk turut sama menunaikan solat jenazah salah seorang ibu bapa pelajar yang meninggal dunia.

Katanya, susulan daripada penularan wabak Covid-19 sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dijalankan di kawasan itu, seramai 21 daripada 41 pelajar lelaki telah dikuarantin.

“Selain itu, 40 daripada 60 pelajar perempuan turut dikuarantin selepas ujian saringan dijalankan minggu lalu.

“Setakat ini, seramai 108 orang termasuk pelajar, kakitangan madrasah dan anak-anak kecil berkampung di pondok ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gaal Mohd. Rodzi Jaafar turut hadir menyampaikan sumbangan keperluan makanan manakala ADUN Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim akan memberi bantuan sama esok.

Menurut Mohd. Safian, pihaknya menerima pelbagai sumbangan makanan dan keperluan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kegunaan semasa tempoh kuarantin.

Katanya, pusat pengajian itu telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, namun penularan wabak terbaharu ini diluar kawalan pihak madrasah.

“Saya juga menafikan tohmohan orang ramai yang mendakwa penularan Covid-19 di sini berpunca daripada penganjuran pameran artifak Rasulullah dan para sahabat yang bakal di sini.

“Memang pengurusan pondok mendapat jemputan untuk penganjuran majlis itu, namun dibatalkan kerana mematuhi arahan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan yang tidak membenarkan pameran berkenaan dijalankan,” katanya.

Tinjauan Kosmo! ke lokasi berhampiran madrasah mendapati kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan masih lagi menjalankan kerja saringan dalam kalangan penduduk Dalam Huma dan Penduduk Kampung Gong Kala. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI