fbpx

Penduduk kampung redah sungai sambil usung jenazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keranda mengandungi jenazah warga emas dihanyutkan di Sungai Kali Lamong, Jawa Timur pada Khamis lalu. – Amin Alamsyah/suara.com

JAKARTA – Satu lagi jenazah seorang warga emas terpaksa dihanyutkan oleh sekumpulan individu untuk menyeberangi air deras Sungai Kali Lamong di Jawa Timur ke satu tapak perkebumian.

Menurut laporan Tribun News, jenazah itu ialah wanita bernama Kasti, 66, yang disahkan meninggal dunia pada Rabu lalu dan mengambil masa selama satu hari untuk tiba ke tapak perkuburan.

Ini merupakan kejadian kali kedua berlaku di Dusun Gorekanlor, Desa Cermenlerek, Kecamatan Kedamean, Gresik di Indo­nesia.

Tahun lalu, satu jenazah terpaksa diusung sekumpulan penduduk dan mereka menyeberang air sungai yang deras disebabkan kawasan itu tidak mempunyai kemudahan jambatan.

Penduduk terpaksa meredah air sungai kerana itu satu-satunya laluan ke tapak perkuburan.

Klip video yang tular menunjukkan insiden itu turut menarik perhatian Kerajaan Kabupaten Gresik.

Ketua Perkhidmatan Kerja Raya dan Perancangan Gresik, Gunawan Setijadi berkata, pada ketika ini kerajaan Kabupaten Gresik akan merangka satu persetujuan antara penduduk di Gorekanlor dan Gorekankidul.

“Jika seseorang penduduk Gorekanlor meninggal dunia, jasadnya boleh dikebumikan di Gorekankidul sekiranya air ­Sungai Kali Lamong melimpah,” katanya.

Sejak kes pertama pada tahun lalu, Kerajaan Kabupaten Gresik menawarkan satu penyelesaian dengan membeli sebidang tanah seluas 3,000 meter persegi untuk dijadikan tanah perkuburan tetapi proses itu tergendala disebabkan pandemik Covid-19.

“Membina satu jambatan tidak sesuai daripada aspek kos dan lokasi. Jambatan itu akan jadi laluan untuk pengebumian. Jadi, ia amat tidak efektif berbanding dengan kos pembinaan,” kata Gunawan.

Walaupun perlu berdepan kepayahan untuk ke tanah perkuburan, penduduk kampung Gorekanlor tetap bertegas untuk mengebumikan jenazah keluarga di lokasi sama.

Ketua Kampung Cermenlerek, M. Suhadi juga tidak menjamin kejadian keranda hanyut kali ini akan menjadi yang terakhir.

“Kami tidak boleh halang jika keluarga mahu mengebumikan jenazah di kawasan sama. Mereka tidak bersedia mengebumikan jenazah di tempat lain walaupun kampung sebelah sudah bersetuju,” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI