fbpx
Muhammad Syafiq (berkerusi roda) masih terkejut dengan kejadian menimpa dirinya awal pagi tadi.

Bapa Muhammad Syafiq belum sempat tengok cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBERANG PERAI – Bapa pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad sedih kerana tidak sempat melihat cucu lelakinya yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di kilometer 163.6 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini awal pagi tadi.

Ahmad Ibrahim, 56, berkata, dia sudah membuat perancangan untuk melawat keluarga Muhammad Syafiq di Johor yang baru dikurniakan cahaya mata pada 14 November lalu sebaik sahaja tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) berakhir.

“Kami sepatutnya bertolak 11 Disember ini tetapi terpaksa ditunda sekali lagi ke hujung bulan ini kerana kawasan (kediaman) di Bayan Baru dikenakan pula perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

“Kami gembira dan teruja untuk melawat cucu lelaki pertama kami, Muhammad Aisy Saqeef dan adiknya juga sudah mengambil cuti untuk menziarahinya di Johor.

“Sebab itu kami sekeluarga sangat sedih kerana tidak sempat melihat anak Muhammad Syafiq,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, berdasarkan perbualannya dengan Muhammad Syafiq, anaknya itu memaklumkan cuba mengelak sesuatu yang melintas di lebuh raya menyebabkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Velfire dipandunya terbabas dan merempuh pembahagi jalan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi tadi, tiga dilaporkan terbunuh iaitu bayi baru lahir yang belum dikenal pasti identiti, ibu mentua Muhammad Syafiq, Zainan Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.

Isterinya, Nur Amalina Norain, 25, cedera parah dan dirawat di Hospital Seberang Jaya di sini.

Bagaimanapun, Muhammad Syafiq, 25, dan anak perempuannya Aaira Nur Safiyya, 2, hanya cedera ringan. – K! ONLINE

POPULAR