fbpx
Gambar hiasan.

Maria Chin diperintah kemuka tunjuk sebab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah diperintah untuk mengemukakan tunjuk sebab kenapa beliau tidak perlu dikenakan tindakan kerana mengkritik keputusan Mahkamah Syariah dalam kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Syariah yang dipengerusikan Mohd. Amran Mat Zain, Othman Ibrahim dan Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Maria untuk mendapatkan lanjutan masa bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang membenarkan prosiding komital terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili SM Faisal selaku responden ketika dihubungi media di sini hari ini.

“Mahkamah turut memerintahkan Maria Chin selaku perayu untuk membayar kos sebanyak RM6,000,” kata Akberdin.

Turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu ialah ibu SM Faisal, Puan Sri Zaleha Ismail.

Selain Akberdin, SM Faisal turut diwakili peguam-peguam syarienya, Datuk Sulaiman Abdullah dan Rafie Mohd. Shafie manakala Maria yang turut hadir di mahkamah diwakili peguam-peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan dan Mohd. Hafizal Parcho.

Pada 4 September tahun lalu, Mahkamah Syariah di sini menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia kerana mengubah tarikh lawatan anak-anaknya untuk bersama bapa mereka (Faisal).

Emilia dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.

Hukuman dijatuhkan terhadap Emilia itu menyebabkan Maria mengeluarkan kenyataan wanita Islam masih didiskriminasi di bawah sistem undang-undang syariah Malaysia, yang disiarkan sebuah portal.

Pasangan berkenaan bercerai pada 2016 dan hak penjagaan penuh terhadap tiga anak mereka, Fawwaz, Faiz dan Farhan diberikan sepenuhnya pada Emilia. – K! ONLINE