fbpx

Semua pekerja asing Top Glove masih di kawasan PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kilang Top Glove, Klang Selangor.

SHAH ALAM – Polis menegaskan semua pekerja warga asing di asrama syarikat Top Glove, Meru, Klang masih berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) itu setakat ini.

Isu itu timbul susulan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina tempatan berhubung penularan video yang memaparkan pekerja memanjat pagar asrama tersebut, kelmarin.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor,  Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, siasatan pihaknya mendapati pekerja itu tidak keluar meninggalkan kawasan PKPD.

“Mereka hanya memanjat pagar masuk ke dalam kawasan asrama selepas pergi ke sebuah kedai runcit di kawasan perumahan berhampiran.

“Kedai itu masih berada dalam lokaliti PKPD dan tidak timbul isu mereka menceroboh atau keluar dari kawasan tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Jelas beliau, pekerja asing itu memanjat pagar masuk asrama berkenaan berikutan enggan mengikut laluan utama.

“Kita mendapati mereka pergi membeli barangan di sebuah kediaman yang diubahsuai menjadi kedai runcit.

“Perkara itu sudah dimaklumkan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Tambah Muhammad Yazid, keadaan di kawasan PKPD itu masih terkawal dan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan sebanyak 1,206 permohonan ditolak daripada 54,711 diterima polis bagi merentas negeri antara 26 November hingga semalam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI