fbpx

Sarjan Norihan jalani fisioterapi latih berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosman Kasman

GEORGE TOWN – Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Sarjan Norihan Tari, 39, telah menjalani rawatan fisioterapi berjalan menggunakan bantuan alat ‘reciprocal walking stick’.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA, Superintenden Rosman Kasman berkata, Norihan yang kini berada di wad biasa Hospital Pulau Pinang (HPP) semakin menunjukkan perkembangan yang progresif hari ini.

“Isteri Norihan memaklumkan yang suaminya kini boleh bangun dan baring selain tiub dari abdomennya telahpun dikeluarkan. Dia juga boleh makan bubur dan buah-buahan yang lembut.

“Hanya sebutir peluru dapat dikeluarkan dalam pembedahan tempoh hari manakala dua lagi peluru masih dalam badannya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Rosman memberitahu, beliau juga telah mengadakan lawatan ke atas anggota terbabit sejurus selesai menjalani pembedahan membuang peluru pada perut Khamis lalu.

“Saya sempat bertemu sekejap dengan Norihan dan isteri bagi memberi kata-kata semangat kepada mereka. Isterinya ketika itu dilihat masih terkejut dan trauma tetapi dalam keadaan tenang.

“Saya mengatakan kepadanya bahawa insiden yang berlaku terhadap suaminya itu adalah kejadian bermaruah. Anggota bertempur dengan kumpulan penyeludup bagi menjaga keselamatan negara yang diamanahkan kepada mereka di perbatasan.

“Semangat juang anggota Senoi Praaq betul-betul sejati dalam diri mereka dan tidak berpatah balik walaupun berdepan dengan serangan,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 3.10 pagi Selasa lalu, Norihan dan seorang lagi anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terkena tembakan dipercayai oleh anggota kumpulan penyeludup ketika bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand, Padang Besar, Perlis.

Bagaimanapun, Baharuddin maut di tempat kejadian selepas ditembak pada bahagian kiri perut.

“Semangat rakan-rakan Norihan (anggota pasukan Batalion 3 PGA) yang turut sama ditugaskan menjaga sempadan Malaysia-Thailand itu masih berkobar-kobar biarpun tugasan mereka tamat secara rasmi Selasa lalu.

“Mereka tidak mahu balik lagi kerana mengatakan ada misi yang belum selesai, saki baki penyeludup yang menembak rakan mereka masih bebas. Bagaimanapun mereka terpaksa akur dengan arahan yang diberi,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI