SEPERTI mana kaum Melayu dan Cina yang mempunyai elemen hiasan tertentu semasa menyambut hari keraian, begitu juga dengan kaum India yang cukup terkenal dengan hiasan kolam atau rangoli yang sering menjadi penyeri perayaan.
Rangoli atau kolam merupakan hiasan lantai dihasilkan daripada beras hancur yang diwarna menggunakan pewarna khas.
Biasanya kolam ini dibuat di depan pintu rumah sebagai tanda selamat dan rahmat agar setiap isi rumah mendapat kesejahteraan.
Hakikatnya bagi menghasilkan hiasan lantai itu bukanlah mudah, sebaliknya memerlukan kesabaran, ketekunan selain kreativiti tersendiri.
“Kebiasaannya beras hancur akan diwarnakan dan perlu dikeringkan sekitar dua hingga tiga jam bagi memastikannya sebati serta menaikkan seri beras yang ditabur itu.
“Warnanya pelbagai seperti merah, kuning, oren, hijau, ungu, coklat dan putih.
“Namun, pewarnaan juga bergantung kepada bentuk lukisan yang akan diukir dan permintaan pelanggan sendiri, “ ujar seorang pembuat kolam, N. Kumaran kepada K2 baru-baru ini.

Kongsi pemuda berusia 44 tahun itu, ilmu membuat kolam tersebut dipelajarinya sendiri dengan melakukan percubaan sendiri berpuluh kali sebelum turut mendapat tunjuk ajar daripada seorang rakan, Siranjevi Haridas dalam permainan ton warna.
Siranjevi ialah individu yang telah melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) baru-baru ini kerana berjaya menyiapkan kolam potret paling pantas secara individu iaitu dalam tempoh enam jam menerusi program Enggal Annan.
Tarikan pelancongan
Kata Kumaran, lukisan pertama rangoli yang dihasilkannya adalah bercorak bunga-bungaan.
“Saya jatuh cinta terhadap seni rangoli selepas melihat reka bentuknya yang cantik dan penuh ilustrasi ketika bertandang ke rumah rakan sewaktu perayaan.
“Memang rumit pada awalnya mencuba dengan menghasilkannya sendiri di rumah, ia mengambil masa selama tiga hingga empat jam untuk menghasilkan hanya satu kolam hiasan kecil.
“Setelah yakin akan kemampuan diri, saya kemudiannya membuka tempahan kepada saudara-mara terdekat dengan bayaran pertama diterima sebanyak RM250,” terangnya yang mempunyai pekerjaan lain iaitu pemandu lori.

N. Kumaran menjelaskan, sepanjang pembabitan selama 13 tahun itu, dia pernah meraih pendapatan paling tinggi sebanyak RM3,500 hanya untuk satu karya rangoli burung merak.
Ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu, purata pendapatan hasil rangoli sebelum ini mampu mencecah RM10,000 sebulan.
“Berkenaan harga sebuah kolam, ia dikenakan mengikut saiz dan corak. Kalau saiznya besar, kosnya lagi mahal.
“Apabila Deepavali atau Ponggal, tempahan makin bertambah dengan pelanggan saya termasuk pihak pengurusan pasar raya dan jabatan kerajaan,” katanya.
Tidak dinafikan, keunikan rangoli mampu menjadi tarikan pelancongan apabila ia dibuat di tempat awam, pusat beli-belah dan sebagai aktiviti kebudayaan.
Siranjevi, 42, pula berkata, rangoli mampu menjadi platform terbaik mempromosikan kebudayaan dan seni yang menonjolkan identiti Malaysia, selain menghidupkan sambutan perayaan di negara ini.
“Estetika sesebuah karya seni mendedahkan dan mengajar orang ramai mengenai perbezaan kebudayaan yang mempromosikan perpaduan.
“Pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta dan rangoli ini mungkin dapat menzahirkan perasaan cinta seni kaum India kepada masyarakat umum,” jelas pembuat kolam itu.

Siranjevi memberitahu, dia cenderung mengekspresikan lukisan kolam dalam bentuk tiga dimensi (3D) termasuk bercorak bunga, haiwan dan sebagainya.
Ujarnya, usahanya itu bagi menyerlahkan lukisan rongoli sesuai dengan peredaran zaman.
“Apabila sebut berkaitan seni, ia bersifat universal dan bergantung ekspresi masing-masing sama ada ingin mengekalkan cara tradisional atau moden.
“Impaknya sama iaitu bagi mengetengahkan dan menyerlahkan budaya masyarakat India yang mampu menarik orang ramai untuk mempelajarinya,” katanya.
Potret
Sentuhan tangan Siranjevi mendapat pengiktirafan MBOR pada 28 Julai lalu selepas berjaya menyiapkan kolam potret dalam tempoh enam jam menerusi program Enggal Annan yang turut dihadiri 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Blues Brothers.
Ujar lelaki itu, dia menghasilkan lakaran wajah Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran yang turut dijemput merasmikan program tersebut di Capitol Selayang Hall, Batu Caves, Selangor.
“Kolam itu bersaiz 44.5 meter persegi yang merupakan saiz paling besar pernah saya buat selama 26 tahun berkecimpung dalam bidang ini.
“Rasanya amat puas apabila berjaya mencabar diri sendiri yang sebelum ini menghasilkan kolam seluas 37.1 meter persegi dan paling kecil adalah 2.3 meter persegi,” ujarnya.
Siranjevi juga pernah menghasilkan beberapa kolam potret individu terkenal seperti aktor popular, Rajinikanth dan artis legenda, Bob Marley.

Sementara itu, peminat kolam, A. Sinnaiah, 56, hiasan lantai menjadi acara wajib buat mereka sekeluarga setiap kali munculnya Deepavali.
Tambah pemilik sebuah restoran itu, dia bersama isteri, K. Saraswathy, 51, akan mendapatkan khidmat pembuat kolam bagi menyerikan rumahnya pada perayaan itu.
“Corak merak sentiasa menjadi pilihan kami sekeluarga. Ia melambangkan indahnya perayaan melalui warna yang pelbagai,” katanya.
Berbeza dengan P. S. Rajoo, 56, yang gemar memilih rekaan ringkas dan kadangkala menghasilkannya sendiri dalam saiz kecil.
“Kolam ini ibarat sedekah, beras-beras hancur itu akan diberikan kepada semut atau burung untuk dimakan sebaik berakhirnya perayaan,” jelasnya.














