fbpx
AKIM, Tomok, Black dan Hazama mengakui, mereka bukan sahaja sahabat sepentas, bahkan bersahabat baik dalam kehidupan sehari-harian.

Empat vokalis pemilik Suara Licik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EMPAT penyanyi dengan empat karakter vokal yang berbeza bergabung. Memang meletup!

Itu yang dapat digambarkan menerusi kerjasama empat penyanyi lelaki hebat tanah air, Akim Ahmad, Hazama, Black Hanifah dan Tomok.

Bermula dengan ‘zero’ sebagai budak hingusan yang menghadiri uji bakat pelbagai program realiti, kini mereka sudah berada dalam kelas tersendiri.

Satu persatu kejayaan yang diraih, membuktikan kerja keras dan kesungguhan dalam mengabdikan diri sebagai anak seni akan membuahkan hasil.

Impian untuk menyaksikan gabungan keempat penyanyi itu beraksi dalam persembahan berskala besar iaitu konsert masih belum terlaksana ekoran penangguhan konsert 4G’s yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April lalu di Istana Budaya akibat penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan terkini, konsert tersebut dijadualkan berlangsung bulan depan pada 11 dan 12 Disember ini.

Mengikut perancangan yang telah dibuat, Akim, Hazama, Black dan Tomok bakal menyanyikan sebuah lagu baharu yang dicipta khas untuk dipersembahkan pada konsert itu.

Namun, bagi memenuhi permintaan peminat, lagu yang sudah siap dirakam tersebut telah dilancarkan secara rasmi, minggu lalu.

Lagu berjudul Suara Licik ciptaan Taja dan lirik oleh Ana Raffali tersebut turut menampilkan anggota kumpulan Meet Uncle Hussain (Taja) itu sendiri bertindak sebagai penerbit.

Sebagai penyanyi, Akim yang juga vokalis Akim & The Majistret berkata, lagu berkenaan sangat unik.

Luar biasa

“Rakaman lagu ini sangat unik. Lagu ini dihasilkan oleh Taja dan lirik pula oleh Ana Raffali.

“Melodi dan lirik lagu ini sangat bagus. Saya amat gembira dapat menyanyi dan merakam lagu ini bersama tiga rakan lain.

“Kebetulan ketika itu kami akan ada konsert, jadi perlukan sebuah lagu baharu untuk nyanyian bersama.

“Diakui, merakamkan sebuah lagu bersama Hazama, Black dan Tomok memberi pengalaman luar biasa. Sebab masing-masing ada karakter dan keunikan suara tersendiri. Mereka semua penyanyi yang bagus. Sejujurnya, saya teruja bekerjasama dengan mereka dalam projek ini.

“Apabila bekerja dengan kawan-kawan, kita tak tertekan kerana masing-masing berikan kerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain. Malah, kami cuba memberikan yang terbaik dalam sesi rakaman,” katanya.

LAGU Suara Licik sebenarnya dibikin khas sebagai lagu bonus yang mahu didendangikan secara rasmi dihadapan peminat pada konsert 4G’s yang akan berlangsung pada 11 dan 12 Disember nanti.

Setelah tarikh baharu konsert 4G’s ditetapkan, Akim teruja untuk mempersembahkan lagu berkenaan dalam skala besar.

“Pada hari konsert nanti, harapnya lagu ini dapat memenuhi cita rasa semua peminat dan mereka menikmati nyanyian daripada kami semua. Saya harap selepas ini peminat akan terus menyokong konsert artis tempatan.

“Tanpa penyokong dan peminat, rasa sunyi bila di atas pentas. Kehadiran peminat menyuntik semangat yang besar untuk kami sampaikan perasaan dan bait-bait lirik dalam persembahan setiap lagu,” katanya.

Senada dengan Akim, Black mengakui gembira dapat bekerjasama dengan Akim, Tomok dan Hazama.

“Perasaan sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan sahabat yang sama-sama suatu ketika dahulu membina nama dalam industri.

“Komitmen dan semangat yang diberikan mereka bertiga menunjukkan yang mereka juga berasa tidak sabar untuk lagu ini diputarkan. Malah, tidak sabar nak dipersembahkan secara langsung pada konsert.

“Alhamdulillah, kami sudah pun mendapat tarikh baharu konsert yang tertunda ini.

“Insya-Allah, kalau tiada aral melintang pada bulan depan 11 dan 12 Disember akan berlangsung konsert 4G’s,” katanya.

Bagi Tomok pula, kali pertama bekerjasama dengan tiga rakan penyanyi lain sesuatu yang menarik dan istimewa.

“Lagu ini sangat istimewa sebab saya rasa ini pertama kali kami digabungkan bersama dalam sebuah lagu. Sebenarnya, bergandingan dengan sahabat merupakan satu perkara yang sangat menarik. Benda susah pun jadi menarik.

“Pada malam konsert nanti, kami akan persembahkan kepada semua. Saya sangat berharap lagu ini diterima dan dekat di hati peminat. Saya harap lagu ini dapat sokongan semua,” katanya.

Sementara itu, Hazama menyifatkan kerjasama dengan Akim, Tomok dan Black sebagai saling memberi dan menerima.

“Pengalaman bersama mereka bukan sahaja dalam lagu ini malah semasa kami bersama-sama dalam industri. Mereka banyak memberi tunjuk ajar serta boleh menerima pandangan pihak lain.

“Mereka tidak kedekut memberi ilmu dan memberikan komitmen tinggi sewaktu merakamkan lagu ini. Kami juga bukan sahaja sahabat dalam indusri, malah sangat rapat di luar pentas,” katanya.

Setelah dilancarkan menerusi semua platform muzik, video lirik Suara Licik juga telah menemui penonton baru-baru ini menerusi saluran YouTube Nova Music Videos.