fbpx

Warga emas kutip sampah sara anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIEW HONG (kiri) bersama anaknya sedang mengutip sampah di tepi longkang berdekatan Pangsapuri Permai Indah, Klang semalam.

KLANG – Seorang ibu tunggal warga emas sanggup bergelumang dengan bau busuk mengutip bahan buangan di sekitar Taman Pandamaran Jaya di sini, setiap hari sejak lima tahun lalu bagi menyara keluarganya.

Rutin harian Kan Siew Hong, 60, adalah keluar kira-kira pukul 7 pagi sebelum pulang 4 petang dengan meraih pendapatan sekitar RM30 sehari dengan bantuan anak sulungnya berusia 23 tahun.

Siew Hong berkata, tindakan tersebut terpaksa dilakukan selepas nekad berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah sekolah di Taman Pandamaran Jaya.

Katanya, ini berikutan kesihatannya merosot akibat penyakit kencing manis dialaminya sejak lima tahun lalu.

“Jika sebelum ini, saya mampu meraih pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, namun kini hanya RM30 sahaja sehari.

“Bahan buangan seperti botol plastik, surat khabar, besi yang dikutip terutama di tong-tong sampah kini adalah pendapatan tetap saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Jelas wanita itu, dia menggalas tanggungjawab menjaga dua anaknya termasuk seorang daripadanya masih bersekolah di tingkatan lima selepas kematian suaminya sejak 10 tahun lalu.

Ujar Siew Hong, anak sulung­nya nekad membantunya tiga tahun lalu selepas tidak mencapai keputusan memberangsangkan dalam akademik sebelum ini.

“Kami tiga beranak berjimat-cermat dengan pendapatan tidak seberapa ini dan kadang-kadang mendapat bantuan makanan daripada jiran,” katanya yang tinggal di Blok B, Pangsapuri Permai Indah.

Mengulas lanjut, Siew Hong mendakwa pernah memohon bantuan daripada beberapa pihak berkaitan sebelum ini, namun gagal serta tidak dimaklumkan sebabnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI