fbpx

Dunia hiburan musim gelora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
TENGKU SUZANA RAJA HAMAT, PENOLONG PENGARANG BERITA

BOHONGLAH jika ramai yang mengatakan pelaku industri hiburan boleh bersenang-senang ‘berhibur’ saat dunia dilanda gelora Covid-19.

Yang bergembira dan menyanyi riang mungkin terlihat dalam satu pertiga program televisyen, itu pun untuk program pertandingan nyanyian.

Selebihnya, carilah senarai filem Melayu di serata pawagam, rasanya sudah lama judul Melayu lenyap di panggung konvensional.

Hampir semuanya kini bergantung terhadap platform digital atau penstriman.

Jika semasa mula diperkenalkan dahulu ramai yang skeptikal bahawa Astro First akan membunuh penjualan tiket di pawagam, kini saluran itu menjadi sandaran penerbit yang tidak mahu karya mereka sekadar terperap sementara koronavirus masih kembang kuncup.

Tidak hanya Astro First, platform wayang online juga mula mencari rentak, Ewayang.com dan Mubi Malaysia semakin mendapat tempat.

Namun, dalam keluh resah filem kontang tayangan, naskhah yang didakwa tidak bertaraf filem, Mael Totei The Movie yang berbajet sekitar RM400,000 meraih lebih RM6 juta sewaktu menemui penonton dalam saluran Astro First. Itu durian runtuh namanya!

Tamat soal filem yang dilihat tetap ada lencongan untuk menyambung hayat, seperkara yang harus ditelan penggiat dunia hiburan juga kekangan penganjuran konsert secara langsung.

Konsert Search X Awie contohnya, sudah dua kali ditunda, mula-mula pada 28 Mac lalu, ditunda ke 12 Disember ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terkini, tarikhnya ditunda lagi ke 13 Februari tahun depan. Nasiblah.

Pemain industri juga semestinya kian berjaga-jaga iktibar daripada insiden Separuh Akhir-Akhir MuzikMuzik ke-35 apabila Alif Satar dan dua pemuzik The Locos positif Covid-19. Semua petugas dan artis terbabit dengan persembahan tersebut juga harus mengambil ujian calitan dan menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Akibatnya golongan artis turut dikecam asyik berseronok tanpa menghiraukan penularan jangkitan koronavirus.

Hari ini, 1 Disember bermakna sebulan sahaja lagi tahun 2020 akan menutup tirai. Jika lebih lapan juta rakyat Malaysia yang mempunyai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang berkira-kira untuk mengeluarkan sehingga RM10,000 daripada Akaun 1, golongan artis dan pekerja belakang tabir yang rata-ratanya tiada caruman hari tua hanya mampu menggigit jari. Segelintir mereka berharap terhadap royalti!

Malangnya, dari dahulu hingga sekarang ada sahaja isu berbangkit soal royalti sehingga baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terpaksa campur tangan menyiasat dakwaan penyelewengan wang royalti dalam empat badan pengurusan royalti artis.

Isu royalti artis wujud sejak sekian lama, cuma dalam keadaan sekarang, sedikit imbuhan hasil royalti mungkin cukup untuk menampung barang dapur segelintir artis yang sedang terjejas teruk ketika ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI