fbpx

Tidak pakai topi keledar kesalahan utama penunggang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmil (kiri) bersama Pegawai JPJ menunjukkan Go Pro dan peralatan lain yang digunakan untuk mengambil foto atau video kesalahan yang dilakukan pengguna jalan raya di Ibu Pejabat JPJ Johor, Taman Daya, Johor Bahru, hari ini. - Foto BAAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor telah merekodkan sejumlah 1,240 kesalahan melibatkan pelbagai kesalahan motosikal, dengan kesalahan tidak memakai topi keledar mencatat jumlah tertinggi iaitu sebanyak 1,150 saman.

Pemangku Pengarah JPJ negeri, Azmil Zainal Adnan berkata, jumlah itu direkodkan dalam Ops Topi Keledar dijalankan pihaknya selama tiga hari bermula 17 November lalu.

Menurutnya, statistik itu menunjukkan kurangnya pematuhan penunggang motosikal dalam aspek pemakaian topi keledar.

“Ops Topi Keledar yang dilaksanakan bermula 17 November hingga 19 November lalu itu melibatkan pelbagai jalan raya utama di seluruh Johor, termasuklah di Johor Bahru, Muar dan Pontian.

“Sebanyak 1,150 saman telah dikeluarkan kerana kesalahan tidak memakai topi keledar, perkara ini perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat JPJ Johor di sini hari ini.

Antara kesalahan lain yang turut dicatat sepanjang tempoh tiga hari pelaksanaan operasi itu termasuklah tamat cukai jalan, tiada insurans, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit dan lain-lain.

Majoriti daripada kesalahan itu dicatat menerusi penguatkuasaan secara rakaman video oleh pegawai dan anggota JPJ negeri sendiri.

Azmil turut memberitahu, penguatkuasaan undang-undang berkenaan pemakaian topi keledar telah dimulakan sejak 1997, namun kadar pematuhannya ketika ini amat rendah.

“Antara alasan utama yang diberi ketika ditahan adalah mereka hanya jalan dekat-dekat, termasuklah untuk mengunjungi kedai berhampiran.

“Namun, mengikut undang-undang, sebaik sahaja penunggang menunggang motosikal mereka, mereka perlu memakai topi keledar, ini sebenarnya demi keselamatan mereka sendiri,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI