fbpx

Polis KL terima dua laporan penipuan skim pelaburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saiful Azly (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian barangan yang dirampas dalam dua serbuan ke atas tiga premis di sekitar ibu negara yang didapati menjalankan kegiatan perjudian online. Foto: Amir Khalid

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur telah menerima sebanyak dua laporan terhadap skim pelaburan LikeShare yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM20,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, laporan diterima daripada dua individu iaitu seorang pengarah syarikat dan eksekutif sebuah syarikat swasta di sekitar Kuala Lumpur.

“Pengarah syarikat iaitu seorang wanita tempatan mendakwa telah kerugian sebanyak RM9,888 manakala seorang lelaki pula telah kerugian sebanyak RM10,000.

“Sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman telah melakukan serbuan di sebuah premis di ibu negara yang disyaki menjadi markas operasi skim berkenaan namun ia didapati telah ditutup sejak 9 November lalu.

Beliau berkata demikian pada satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Menurut Saiful Azly, siasatan dan risikan yang dilakukan telah berjaya mengenalpasti beberapa individu warga tempatan yang menjadi dalang skim pelaburan tersebut dan tidakan selanjutnya akan menyusul.

Jelas beliau, modus operandi skim tersebut adalah mangsa dikehendaki memuat turun dua aplikasi ke komputer mereka bagi melengkapkan tugasan yang perlu diselesaikan secara online.

“Mangsa juga perlu memindahkan sejumlah wang untuk dilaburkan agar mendapat lebih banyak tugasan bagi memperolehi lebih banyak ganjaran.

“Ahli sindiket akan mengumpan dengan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun mangsa dan mangsa yang gelap mata akan menambah lagi jumlah pelaburan sebelum menyedari telah ditipu apabila wang yang ingin dikeluarkan sudah tiada,” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan Saiful Azly turut berkongsi tentang penahanan 38 individu menerusi dua serbuan ke atas tiga premis di sekitar ibu negara pada Jumaat dan Sabtu lalu berhubung kegiatan perjudian secara online.

“Serbuan pertama dilakukan di dua unit kondominium di Jalan Kia Peng di sini dan berjaya menahan seramai sembilan individu yang terdiri daripada lima warga China termasuk seorang wanita dan empat lelaki warga Taiwan berusia 20 hingga 40 tahun.

“Pihak polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan oleh sindiket berkenaan seperti telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba, unit dekstop dan wang tunai berjumlah RM2,633,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam serbuan kedua pula pihak polis telah menahan 29 individu berusia 15 hingga 40 tahun di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang dan merampas peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan perjudian online.

“Kesemua individu yang ditahan dalam serbuan pertama kini ditahan reman lima hari sehingga 1 Disember bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka.

“Manakala, individu dalam serbuan kedua pula direman empat hari sehingga 2 Disember dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI