fbpx

‘Tiada hantu di sini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK kampung 37 Darat mahu orang ramai hentikan viral yang tidak sahih berhubung misteri ketukan tanpa salam.

SABAK BERNAM – Penduduk di empat buah kampung khususnya Kampung 37 Darat dan Batu 38 yang terpalit dengan misteri ketukan tanpa salam bimbang jika kampung berkenaan terus dilabelkan sebagai berhantu.

Rata-rata mereka kecewa apabila masih terdapat video atau audio viral dimuat naik di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp yang tidak disahkan kesahihannya.

Malah, terdapat sebuah video secara jelas menunjukkan kejadian di negara jiran, namun dikaitkan dengan insiden ketukan di daerah ini.

Seorang penduduk, Amirul Ahsraf Hassan Sobir, 21, berkata, tindakan itu jelas tidak bertanggungjawab terhadap sensitiviti penduduk di sini.

“Cukup, jangan terus melabelkan kampung ini sebagai berhantu dengan viral-viral yang tidak benar terutama di laman sosial Facebook.

“Sudah tiga malam tiada gangguan berlaku di sini dan berharap tidak terus disensasikan tanpa sebab,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Jelas pemuda itu, kejadian itu juga boleh menyebabkan orang ramai khususnya dari luar takut untuk melalui kawasan ini.

Sementara itu, penduduk kampung Batu 38 dikenali Azman senada apabila melahirkan kerisauan sekiranya ada pihak mengambil kesempatan melakukan jenayah seperti samun dengan mengaitkan insiden ketukan itu.

“Sejak bacaan Yasin, tiada lagi gangguan ketukan dan jangan ada pihak cuba menularkan perkara yang tidak betul,” ujarnya.

Muhammad Harith Zulkifli, 21, yang melakukan rondaan di Kampung 37 Darat setiap malam meminta netizen tidak mempertikaikan rondaan dilakukan yang merupakan inisiatif penduduk.

“Ada yang cakap tidak faedah, namun ini adalah tanggungjawab kami bagi memastikan keselamatan penduduk terutama ibu-ibu tunggal,” jelasnya.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung 37 Darat, Muhamad Nazri Saiman berkata, pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya masih terdapat mana-mana pihak menularkan video tidak benar berhubung misteri ketukan tanpa salam

“Saya menafikan audio yang tular berhubung hantu atau saka.

“Rondaan kami tidak menemui perkara itu dan tiada aduan gangguan lagi berkaitannya sejak tiga malam ini,” katanya.

Terdahulu tular audio menyatakan ketukan tersebut dikaitkan dengan entiti yang cuba mencari pewaris kepada tuannya didakwa merupakan seorang bomoh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI