fbpx

Pegawai kanan kastam Sarawak terima ugutan bunuh – JKDM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seorang pegawai kanan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di cawangan Sarawak menerima ugutan bunuh dan kiriman peluru pada 26 November lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pegawai kanan itu menerima satu sampul surat bertulis ‘DEATH’ beserta dua butir peluru dan nota berbunyi ‘GOT TWO BULLET ONE SHORT ONE LONG WHICH ONE YOU WANT’.

Beliau berkata, laporan polis sudah dibuat dan tiga individu berjaya ditahan yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

“Pegawai tersebut membuat laporan polis kerana berasa keselamatan diri serta keluarga beliau terancam.

“Saya dimaklumkan, pegawai sama turut menerima ugutan hampir sama pada 22 November lalu namun, sampul surat itu ditemui di rumah jirannya kemungkinan tersalah hantar,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Abdul Latif berkata, pihaknya dimaklumkan ugutan diterima pegawai itu ada kaitan dengan operasi JKDM Sarawak di Pelabuhan Rajang, Sibu dan Pelabuhan Bintulu bermula pada 21 Oktober hingga 13 November lalu.

Beliau berkata, operasi di kedua-dua pelabuhan tersebut berjaya merampas barangan dengan nilai anggaran berjumlah RM2.64 juta dengan anggaran jumlah cukai yang dianggarkan sebanyak RM655,301.76.

“Kami merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana telah bertindak pantas menyiasat dan menangani isu ini sehingga berjaya menangkap tiga individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes ini.

“Kami memandang serius ke atas sebarang bentuk ugutan atau ancaman ke atas pegawai-pegawai JKDM.

“Kami juga ingin tegaskan bahawa JKDM akan terus menjalankan amanah menjaga keselamatan dan hasil negara melalui penguatkuasaan yang ketat dan tidak akan berkompromi dengan ancaman daripada mana-mana anasir yang ingin menganggu gugat kedaulatan serta keselamatan negara,” katanya.

Katanya, orang ramai digesa membantu pihak kastam memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

Jelasnya lagi, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-
8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.

“Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI