fbpx

Henti sebar gambar pekerja Top Glove panjat pagar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Yazid menunjukkan gambar tular pekerja Top Glove pada sidang akhbar di IPK Selangor, hari ini. - Foto oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Polis memberi amaran kepada semua pihak supaya menghentikan penyebaran gambar melibatkan pekerja syarikat Top Glove memanjat pagar di asrama syarikat berkenaan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Meru, Klang.

Jurucakap Khas Ops Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew berkata, siasatan mendapati gambar itu diambil ketika hari pertama PKPD di kawasan berkenaan pada 17 November lalu.

Kata beliau, kejadian itu melibatkan kawasan asrama B yang menempatkan pekerja lelaki Top Glove.

“Pada waktu itu, mereka bertindak memanjat masuk kerana mengambil jalan mudah tanpa menggunakan pintu utama asrama tersebut.

“Kita menafikan mereka memanjat keluar bagi mengelak dikenakan ujian saringan seperti yang didakwa segelintir pihak sejak beberapa hari lalu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Yazid menegaskan tindakan tegas akan dikenakan kerana telah menimbulkan kegusaran dan menggugat ketenteraman awam terutama penduduk setempat.

“Tindakan ke atas pesalah boleh dikenakan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Yazid menjelaskan proses saringan dan kawalan keselamatan di lokasi PKPD Top Glove masih berjalan lancar dengan melibatkan seramai 207 anggota termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Proses ujian saringan ke atas pekerja kilang itu masih dijalankan sehingga kini dan perkembangannya akan dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPD di asrama pekerja Top Glove sehingga 30 November ini selepas KKM mengesan 215 kes positif Covid-19.

Susulan arahan itu, seramai 5,700 pekerja dan 1,200 penduduk di kawasan berkenaan perlu menjalani saringan selain kerajaan turut bersetuju penutupan berperingkat terhadap 28 kilang Top Glove susulan peningkatan kes positif di lokaliti berkenaan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI