fbpx
Gambar hiasan

UM antara 10 universiti terbaik di Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Universiti tertua di Malaysia, Universiti Malaysia (UM) berada dalam senarai 10 universiti terbaik di Asia berdasarkan laporan oleh Quacquarelli Symonds (QS) World
University Rankings: Asia 2021.

Laporan itu menyebut UM berada kedudukan kesembilan berbanding kedudukan ke-13 pada penarafan tahun sebelumnya.

Selain itu, buat pertama kalinya, 10 buah universiti tempatan termasuk UM serta enam buah Universiti Awam lain dan tiga buah Universiti Swasta turut tersenarai dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.

Berdasarkan laporan itu, Universiti Putra Malaysia berada pada kedudukan ke-28, Universiti Sains Malaysia (34), Universiti Kebangsaan Malaysia (ke-35), Universiti Teknologi Malaysia (39).

Sementara itu, Universiti Teknologi PETRONAS berada pada kedudukan ke-70, Universiti Taylor’s (89), Universiti UCSI (105), Universiti Utara Malaysia (107) dan Universiti Teknologi MARA (108).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia kejayaan terbaik negara setakat ini dan membuktikan bahawa hala tuju pendidikan tinggi negara berada di atas landasan yang betul.

Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan peningkatan kualiti dan kecemerlangan institusi pendidikan tinggi tempatan dalam tempoh yang singkat.

“Kejayaan ini juga secara tidak langsung akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi di rantau Asia ini dan juga dapat membantu institusi dalam menjalinkan kerjasama dengan penyelidik terkemuka dunia.

“UM juga telah berjaya mengatasi Shanghai Jiao Tong University yang menduduki tempat-10 dalam penarafan tahun ini,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, Shang Jiao Tong University adalah universiti terkemuka yang memperkenalkan Academic Ranking of World Universities atau lebih dikenali Sebagai Shanghai Jiao Tong University Rankings yang menilai kekuatan penyelidikan universiti di seluruh dunia.

Noraini berkata, bagi siri penarafan kali ini, 35 buah universiti tempatan telah tersenarai dengan
pertambahan enam buah universiti baharu berbanding dengan 29 buah universiti yang
tersenarai pada tahun lalu.

Menurutnya, 24 buah universiti telah berjaya memperbaiki kedudukan berbanding tahun lepas, tiga buah universiti mengekalkan kedudukan dan dua buah universiti jatuh dari kedudukan tahun lalu.

“Berdasarkan laporan itu, Malaysia antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik di dalam penarafan kali ini,” katanya. -K! ONLINE