fbpx

Sesalan Nomad, tidak kecewa tersingkir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOMAD

USAI perjuangannya dalam Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) berpenghujung pada minggu kelima, penyanyi Nomad berikrar untuk tidak lagi ‘hilang daripada radar seni.

Darah muda yang mengalir dalam tubuhnya dahulu pernah mendorong dirinya berundur daripada dunia nyanyian. Lima tahun membawa haluan daripada dunia glamor sehinggalah tiba satu ketika keputusan tersebut dirasakan ‘memakan diri’.

Sesalan mula melingkari jiwa memikirkan sepanjang tempoh tersebut banyak waktu dan peluang telah dipersiakan.

“Faktor umur yang masih muda dahulu buatkan saya tidak dapat berfikir secara matang. Sepanjang lima tahun saya tak ‘wujud’ dalam industri, itu satu hal yang membazir.

“Sedangkan dalam setahun pun macam-macam benda boleh berlaku, inikan pula lima tahun. Saya tidak gunakan tempoh itu untuk membina nama, sebaliknya menyepikan diri sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, sepanjang tempoh menghilangkan diri, penyanyi berusia 32 tahun itu tidak hanya terperuk menjeruk rasa, sebaliknya dia bekerja dengan syarikat milik keluarganya di Kemaman, Terengganu.

NOMAD menyifatkan pengalaman dalam GV7 sebagai bekalan ilmu yang tidak ternilai harganya.

“Saya ada cuma tidak wujud dalam dunia hiburan. Sehingga kini saya masih bekerja dengan keluarga. Buat masa ini bekerja di rumah disebabkan tidak boleh merentas negeri.

“Pada masa sama, saya mencari jati diri dan anjakan paradigma yang berlaku sekarang adalah rentetan daripada pengalaman masa lalu.

“Kalau dahulu saya seorang yang sukar terima kritikan, tetapi kini seiring dengan kematangan usia, saya berusaha untuk menerimanya dengan berlapang dada,” kongsinya lagi.

Sengaja ditanya apakah dia pernah melalui pengalaman dikritik sepanjang penglibatannya dalam liga seni sejak 2010, anak kelahiran Kemaman itu lantas memberitahu dia dikecam teruk kerana tidak boleh menyanyi secara langsung.

“Saya masih ingat lima tahun lepas, ada orang cakap saya tak boleh nyanyi secara langsung.

“Okey, saya buktikan kemampuan dengan menyertai GV7. Disebabkan kritikan itu jugalah saya bersemangat mahu kembali aktif.

“Sekarang saya terbuka untuk terima semua kritikan baik positif atau negatif. Saya sedar komen-komen yang diberi sebenarnya mahu lihat saya tidak terus berada ditakuk sama,” ujar penyanyi yang popular dengan lagu Tetap Menantimu itu,

NOMAD yang kini bernaung bawah Indigital Music bakal meluncurkan single baharu tidak lama lagi.

Kekal balada

Enggan berlama-lama menangguhkan single terbaharu, Nomad bakal meluncurkan single berjudul Tanda Setia. Lagu ciptaan sendiri sepenuhnya itu masih mengekalkan genre balada.

“Lagu ini bercerita tentang kesedihan ditinggalkan pasangan, jadi lebih sesuai dengan genre balada. Penceritaan diinspiraskan daripada pengalaman saya sendiri yang pernah kecewa bercinta

“Saya percaya setiap lagu ada rezeki tertentu. Saya tidaklah meletakkan harapan yang tinggi untuk lagu baharu ini diterima sama seperti lagu Tetap Menantimu yang mendapat sambutan agak baik sebelum ini.

“Saya keluarkan lagu baharu ini pun berdasarkan keyakinan peminat yang menantikan sesuatu yang baharu daripada Nomad selepas tersingkir daripada GV7,” kongsinya berkenaan karya terbaharunya itu.

Diusik pertanyaan jika dia kembali menghilang pada saat nama sedang membiak perhatian, Nomad dengan nada tegas berjanji akan terus berada dalam dunia muzik.

Katanya, walaupun masih menggalas tugas hakiki di syarikat keluarga, namun kecintaannya dalam seni suara terus utuh dan enggan mengulangi kesilapan sama.

“Saya dah tidak mahu hilang lagi lepas ini. Dahulu ya, memang cukup menyesal dengan tindakan drastik yang dibuat.

“Saya belajar banyak perkara dalam GV7. Biarpun penyertaan saya hanyalah lima minggu, tetapi ilmu yang diperolehi semasa bergaul dengan otai, cukup mahal nilainya.

“Ilmu yang saya dapat dalam GV7 itulah yang saya bawa untuk dijadikan panduan. Saya tidak kecewa apabila tersingkir malah lebih bersedia dan bersemangat,” katanya.

LIMA tahun menghilang daripada dunia muzik, Nomad akui tempoh tersebut amat merugikan.

Sudah berpunya

Bercakap soal hati dan perasaan, lelaki berambut ikal itu sebenarnya seorang yang agak menjaga privasi. Baginya, hal peribadi biarlah terus kekal peribadi.

Bagaimanapun, dia tetap akan menghebahkan kepada umum andai satu hari nanti berniat untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya sudah mempunyai teman wanita tetapi belum ada perancangan untuk berkahwin. Sudah kenal lima tahun kami kenal. Keluarga masing-masing juga sudah tahu hubungan kami.

“Cuma, masing-masing sedang sibuk dengan kerjaya. Insya-Allah, saya akan kongsikan jika ada berita gembira kelak,

“Kalau boleh, saya mahu karier nyanyian ini bersinar dulu kemudian barulah fokus ke arah lain.

“Diharap, kehadiran semula saya ini dapat penuhi cita rasa peminat yang setia memberi sokongan,” tutupnya.

MENGAKUI hatinya sedang dimiliki, Nomad enggan memperincikan identiti kekasih dan kisah peribadinya. Jika sampai waktu untuk berumah tangga, perkara tersebut akan diuar-uarkan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI