fbpx

UMS lancar perkhidmatan saringan Covid-19 secara pandu lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang awam membuat saringan Covid-19 secara pandu lalu di Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS. - Foto: Ihsan UMS

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) hari ini melancarkan perkhidmatan saringan Covid-19 secara pandu lalu kepada orang awam.

Pengarah Pusat Rawatan Warga (PRW) UMS, Dr Muhammad Syafiq Abdullah berkata, perkhidmatan itu dibuka setiap hari di Pusat Rawatan Warga (PRW) yang terletak berhampiran pusat sukan universiti berkenaan.

“Orang ramai boleh datang membuat saringan antara pukul 9.30 pagi sehingga 12 tengah hari atau pukul 2.30 petang sehingga 4.30 petang.

“Saringan akan dibuat di lobi PRW dengan cepat, cermat dan selamat tanpa perlu orang awam turun dari kereta masing-masing,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Muhammad Syafiq menyatakan orang awam hanya dikenakan bayaran sebanyak RM95 sahaja bagi saringan menggunakan kaedah Rapid Test Kit (RTK) manakala RM333 untuk kaedah Polimerase Chain Reaction Test (PCR)

Menurut beliau, semua pembayaran boleh dilakukan secara perbankan atas talian dan resit juga akan dikeluarkan melalui cara sama bagi mengelakkan sebarang sentuhan sekaligus mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19.

“Inisiatif ini dijalankan PRW dengan kerjasama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan makmal Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS ditambah dengan pengalaman petugas kesihatan melakukan ujiab swab hampir 5,000 individu sejak April lalu.

“Oleh itu, kita melihat ia salah satu usaha universiti melalui bidang kepakaran dan kelengkapan UMS untuk membantu memerangi pandemik Covid-19, ” katanya.

Sementara itu, Pengarah HUMS, Prof Dr Helen Benedict Lasimbang berkata, perkhidmatan yang ditawarkan itu mampu memberi impak tinggi kepada masyarakat.

“Ia dapat mengurangkan risiko penularan dan mengelakkan pembasmian kuman yang tidak perlu di kawasan pusat perkhidmatan saringan (PRW).

“Mereka yang datang bukan sahaja nerasa selesa malahan dalam masa sama mampu memberi perlindungan kepada petugas kesihatan UMS yang melakukan saringan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI