fbpx

Pemberian vaksin pneumokokal di Klinik Kesihatan KKM bermula 1 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin pneumokokal konjugat (PCV) di bawah Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak di Klinik Kesihatan KKM pada 1 Disember depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin tersebut diberikan untuk mencegah penyakit disebabkan oleh jangkitan bakteria Streptococcus pneumoniae juga dikenali sebagai pneumokokus.

“Antara penyakit disebabkan oleh bakteria ini adalah radang paru-paru (pneumonia), radang sinus (sinusitis), jangkitan telinga tengah (otitis media), radang selaput otak dan saraf tunjang (meningitis) serta jangkitan bakteria dalam darah (septicaemia).

“Pada masa sama, komplikasi penyakit pneumokokal termasuk cacat pendengaran, kecacatan otak dan kematian,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, pemberian vaksin pneumokokal bertujuan mengurangkan kadar morbiditi dan mortaliti akibat penyakit pneumokokal dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun, seterusnya dapat mengurangkan kos rawatan penyakit pneumokokal dan komplikasinya.

“Walaupun penyakit pneumokokal boleh dirawat dengan pemberian antibiotik, namun terdapat beberapa strain bakteria pneumococcus yang mempunyai kerintangan terhadap antibiotik.

“Pemberian vaksin pneumokokal adalah kaedah paling berkesan untuk menghalang jangkitan bakteria pneumokokus dan secara tidak langsung mengurangkan kerintangan terhadap antibiotik,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, vaksin pneumokokal akan diberikan sebanyak tiga dos iaitu dua dos primer pada usia empat bulan dan enam bulan, diikuti dengan satu satu dos penggalak (booster) pada usia 15 bulan.

Justeru, katanya, kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya layak menerima suntikan vaksin pneumokokal di Klinik Kesihatan KKM.

Katanya, ibu bapa perlu membuat temu janji dengan Klinik Kesihatan KKM bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kepatuhan kepada normal baharu dalam usaha mencegah penularan penyakit Covid-19.

“Bagi kanak-kanak yang lahir pada 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah berumur 5 bulan atau lebih, jadual imunisasi pneumokokal akan disesuaikan mengikut umur oleh fasiliti kesihatan KKM,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, kanak-kanak lahir bermula 1 Januari 2020 dan seterusnya yang telah mengambil satu atau dua dos suntikan vaksin itu di fasiliti kesihatan swasta boleh melengkapkan jadual imunisasi di fasiliti kesihatan swasta atau Klinik Kesihatan KKM.

“Pemberian vaksin pneumokokal di fasiliti kesihatan swasta tertakluk kepada caj dikenakan oleh fasiliti kesihatan swasta tersebut.

“Ibu bapa yang memilih untuk melengkapkan imunisasi pneumokokal anak mereka di Klinik Kesihatan KKM dinasihatkan membawa bersama rekod imunisasi anak mereka, bagi memudahkan urusan penjadualan imunisasi oleh anggota kesihatan di Klinik Kesihatan KKM,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI