fbpx

Kecamlah apa sahaja, yang penting Siti restu – Aishah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH dikecam segelintir netizen kerana nyanyian lagu Aku Bidadari Syurgamu olehnya berbeza daripada Siti Nurhaliza.

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal Aishah mengakui menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza bukanlah perkara yang mudah baginya.

Luahan tersebut dimuat naik menerusi beberapa hantaran dalam Instagramnya hari ini dengan berkongsi pengalamannya sebelum dan selepas membuat persembahan Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35).

“Alhamdulillah selesai sudah tanggungjawab yang sangat berat dan saya tahu macam-macam reaksi diterima. Mungkin itulah risiko menyanyikan lagu artis popular.

“Pengalaman ini banyak mengajar saya dan membuktikan walaupun sudah 34 tahun berada dalam industri, jangan pernah berhenti belajar, ibarat satu ujian ketahanan dan displin pada saya,” tulisnya.

Menurut pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin, 55, dia hanya diberi masa lima hari untuk mempersiapkan diri sebelum membuat persembahan malam tadi.

“Saya mendapat panggilan daripada pihak Siti pada Isnin lalu dan semuanya perlu disiapkan hanya dalam masa lima hari.

“Sebelum ini saya pernah dengar lagu tersebut sewaktu pelancarannya, malah saya pun tidak mengikuti mana-mana drama Melayu ketika ini.

“Tidak lama kemudian, Ippo pula hubungi saya dan teruskan perancangan ini,” ujarnya.

Kongsi pelantun lagu Janji Manismu itu, dia tidak pernah berhenti melakukan latihan bagi memastikan memberikan sebuah persembahan terbaik.

“Dalam tempoh lima hari tersebut, pagi, petang dan malam saya hadam lagu ini. Sampai hendak tidur pun, otak tak boleh berhenti memikirkannya sehingga makan pun tidak ada selera.

“Sejak mula belajar lagu ini, kaki dan tangan sentiasa sejuk dan gemuruh. Tidak henti-henti berdoa supaya tidak buat silap pada persembahan nanti,” ujarnya.

Bekas juara Gegar Vaganza musim keempat bersetuju untuk menerima pelawaan tersebut kerana berpendapat mesej tersirat dalam lirik lagu Bidadari Syurga sangat bermakna buat dirinya yang juga seorang isteri.

“Sebagai seorang isteri, liriknya sangat bermakna malah saya dan suami juga sering berbual tentang siapa yang akan ‘pergi’ dulu. Entah berapa kali air mata saya jatuh ketika menyanyikan lagu ini.

“Sebab kedua saya terima ialah kerana Siti sendiri. Dia seorang penyanyi yang sangat merendah diri sepanjang perjalanan kariernya. Dia juga ada menghantar ucapan dan makanan kepada kami selepas persembahan selesai,” luahnya.

Dalam pada itu, Aishah juga memberitahu, dia hampir pitam ketika membuat persembahan.

“Mungkin terlalu fokus ketika menyanyi atau penat, ketika mula-mula menyanyi dan angkat kepala, tiba-tiba rasa kepala seperti berpusing, pitam!

“Dalam hati berkata, takkanlah aku nak cipta sejarah jadi penyanyi yang pengsan atas pentas. Sangat menakutkan tetapi alhamdulillah saya berjaya habiskan persembahan.

Tambah Aishah, dia juga enggan mempedulikan segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya.

“Adakalanya memang mudah mengkritik tetapi tugasnya bukanlah semudah yang disangka.

“Cakaplah apa pun, jiwa tidak sampailah. Tapi realitinya, penyanyi asal sendiri merestui persembahan ini,” katanya lagi.

Sementara itu, sejak malam tadi, ramai yang meluahkan pelbagai pendapat tentang persembahan Aishah dalam media sosial.

Rata-rata berpendapat Aishah kurang menjiwai lagu berhantu tersebut, begitu juga dengan mutu vokalnya didakwa kurang mantap.

“Tak dapat sampai ke jiwalah bila Aishah nyanyi lagu ini,” ciap seorang netizen.

Bagaimanapun, ada juga yang mengatakan netizen tidak sepatutnya menyamakan nyanyian Aishah dan Siti kerana masing-masing mempunyai cara yang berbeza.

Terdahulu, teka-teki penyanyi yang menggantikan Siti Nurhaliza untuk SFMM35 terjawab selepas nama Aishah diumumkan sebelum persembahan malam tadi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI