fbpx
PELAKON drama Pengantin Satu Malam itu tidak menolak sekiranya sudah tertulis jodohnya bersama Azar Azmi. - MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

Fizo jawab gosip cinta dengan Azar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAAT ini, Fizo Omar menganggap gosip cinta tentang dirinya sudah tidak lagi relevan untuk dikongsikan kepada umum. Seharusnya fokus diberikan terhadap perjalanan karier seninya.
Menurut pelakon drama Maaf Tak Indah itu, dia enggan terburu-buru mencari pengganti bagi mengisi kekosongan hati selepas bercerai pada tahun lalu.

Selepas hampir lima tahun menyepi dari dunia lakonan sejak tahun 2015 dek fokus terhadap perniagaan, Fizo kini kembali ke gelanggang seni, sekali gus merancakkan semula namanya mengisi slot-slot drama popular.

Kerancakan tersebut dapat dirasakan sejak tahun lalu selepas anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu kembali menghiasi beberapa drama bersiri popular seperti Adellea Sofea (2019), Maaf Tak Indah (2020) dan Pengantin Satu Malam (2020)
Bukan sebagai pelakon tambahan, tetapi pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu diberi kepercayaan menjayakan watak ‘hero kedua’ dalam ketiga-tiga drama popular tersebut.

Rezeki ‘hero kedua’

Diusulkan persoalan berkenaan, Fizo mengakui tidak menyedari jolokan tersebut sehinggalah POSE membuka bicara tentangnya.

Menurut pemilik nama penuh Wan Hafizol Wan Omar itu, walaupun hanya sebagai hero kedua, dia percaya tawaran sebegitu ialah rezeki yang besar buatnya sejak ‘pulang’ semula ke dunia lakonan selepas berehat hampir lima tahun.

“Jujur saya sendiri tidak menyedari perkara tersebut sehinggalah POSE bertanyakan soalan ini kepada saya. Tetapi betullah, memang kerap pula pegang watak hero kedua (ketawa).

“Tidak kisahlah jika hanya diberi tawaran hero kedua atau ketiga sekalipun, asalkan saya berjaya membawakan watak tersebut dengan baik dan pihak produksi berpuas hati dengan hasilnya. Biarpun hanya hero kedua, impaknya sangat besar juga kepada jalan cerita drama,” ujarnya.

Malah, bekas pengacara Pencetus Ummah 2016 itu berkata, dia tidak pernah terasa hati walaupun ditawarkan watak sebagai hero kedua.

“Saya tidak pernah marah atau terasa hati, malah sangat bersyukur kerana masih ada pengarah yang percaya dan yakin dengan kemampuan serta bakat saya walaupun sudah lama menghilang dari lokasi penggambaran,” katanya.

 

PELAKON filem Kongsi itu mahu terus membantu lebih ramai usahawan tempatan memasarkan produk mereka dengan lebih luas.

 

Fizo turut mendedahkan pernah ditawarkan watak hero namun terpaksa menolak kerana kekangan masa dan komitmen lain.

“Sekarang, kerjaya saya bukan hanya pelakon tetapi juga ahli perniagaan yang memerlukan saya berkelana ke banyak lokasi.

“Insya-Allah tahun depan saya sudah bersedia untuk pegang semula watak hero bagi drama dan filem, itu pun jika ada tawaran. Saya akan cuba beri komitmen penuh, doakan,” ujarnya lagi.

Heroin sejati

Berbicara tentang ‘hero’, Fizo juga tidak terlepas daripada diajukan soalan tentang siapakah ‘heroin sejati’ yang bertakhta di hatinya selepas bercerai dengan Mawar Abdul Karim pada Julai 2019.

“Heroin saya sekarang ialah anak kesayangan saya, Wan Maryam Wan Hafizol, 3, dan ibu tercinta, Hasnah Jidin. Merekalah cinta hati saya ketika ini.

“Maryam ialah segala-galanya. Hubungan saya dengan Mawar juga semakin baik kerana Maryam.

“Semuanya demi kepentingan dan kebajikan Maryam kerana tidak mahu dia merasai kesan perceraian ibu bapanya,” tegas bintang filem Kongsi itu.

Tambah Fizo, perceraian juga mengajarnya lebih menghargai masa bersama keluarga, khususnya dengan anak perempuannya.

Azar Azmi

Anak dan ibu beraja di hati, namun semua orang tahu Fizo juga sering memuat naik foto dan video bersama pelako Azar Azmi. Kemesraan mereka mudah ditafsirkan peminat sebagai pasangan serasi. Seandainya ada cinta sedang berputik, ada doa sedia diaminkan.

Namun, baik Fizo atau Azar, kedua-duanya tidak pernah menafikan mahupun mengiyakan spekulasi yang sedang bertiup kencang.

Menjawab spekulasi tersebut, Fizo menjelaskan hubungannya bersama pelakon Azar Azmi, 31, kini berstatus kawan rapat.

“Azar wanita yang baik dan sangat menghormati status saya. Ya, kami berkawan tetapi belum sampai ke tahap bercinta.

“Namun, saya terima sekiranya sudah tertulis dia ialah jodoh saya, itu ketentuan Allah SWT dan siapa saya untuk menidakkannya.

“Cuma ketika ini saya tidak mahu terlalu mengejar cinta baharu, tambahan pula rutin harian sangat sibuk. Kasihanlah siapa yang jadi kekasih saya nanti, risau terabai,” ujar Fizo mengusik nakal.

 

FIZO akan mengosongkan minggu kedua dan keempat setiap bulan kerana ingin meluangkan masa bersama puteri kesayangannya.

 

Tambahnya: “Untuk umur dan status sekarang, rasanya gosip cinta tidak perlu diperhebohkan, lebih baik fokus kerja dan anak.

“Kalau media mahu gosip panas, boleh tanya kepada artis baru (tergelak),” ujar si bapa tunggal itu.

Selebriti media sosial

Beralih tentang kerjayanya sebagai selebriti media sosial, bekas naib juara Hero Remaja (2007/08) itu sangat bersyukur kerana platform media sosialnya, Fizo Omar Channel telah berjaya membantu ramai usahawan tempatan.

“Ramai yang beri produk mereka untuk saya buat reviu. Alhamdulillah hasilnya berjaya menaikkan jumlah jualan bisnes mereka.

“Saya nak jadikan platform media sosial saya seperti sebuah stesen televisyen yang ada banyak program menarik. Antara segmen yang mempunyai ramai penonton ialah Campak-Campak dan Mana Mau Makan.

“Hampir semua projek yang pasukan media sosial saya lakukan berjaya mencapai objektif. Bukan mudah untuk berada di posisi sekarang dan semuanya hasil kerja keras kami semua.

“Saya juga bersyukur kerana banyak jenama besar seperti Gardenia pun yang nampak potensi dan gunakan platform media sosial saya sebagai pilihan untuk pasarkan produk,” akhiri Fizo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN