fbpx
Gambar hiasan

Muktamad, kedai runcit tak jual arak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MOHD. RASDAN AHMAD, WARTAWAN EKSEKUTIF

MELIHAT kepada beberapa kemalangan jalan raya di negara kita sepanjang tahun ini, keba­nyakan kejadian itu berlaku berpunca daripada pemandu yang dipengaruhi alkohol.

Antara kejadian yang pernah menggemparkan negara adalah tragedi di Lebuh Raya Kajang Se­remban (LEKAS) pada 16 Feb­ruari tahun lalu yang mengorbankan seorang lelaki selepas kereta dipandunya dirempuh seorang pemandu mabuk.

Bukan itu sahaja, dalam satu lagi kejadian di Tawau, Sabah beberapa tahun lalu, empat lelaki maut selepas dirempuh kende­raan yang dipandu seorang wa­nita mabuk ketika kesemua mang­sa berkumpul di kawasan letak kenderaan.

Ternyata, pengambilan alkohol mengakibatkan gangguan terhadap fungsi biologi, kesan pengambilan alkohol juga dapat mempengaruhi sistem saraf sehingga menyebabkan berlakunya gangguan perilaku manusia.

Oleh itu, keputusan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang memaklumkan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memuktamadkan tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah satu tindakan perlu.

“Keputusan DBKL tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh itu melalui ciapan di Twitternya baru-baru ini.

Terdahulu, DBKL memper­kenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad minggu lalu.

Antara lain, garis panduan tersebut menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.

Keputusan tersebut bagaimanapun dipersoalkan oleh beberapa pihak lain antaranya Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Menurut Kok Wai, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon supaya garis panduan baharu itu ditarik balik.

Dalam pada itu, Ketua Pene­rangan Pas, Kamaruzaman Mohamad turut mendukung tindakan DBKL yang mengeluarkan garis panduan dan syarat permohonan lesen minuman keras yang baharu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Pujian harus diberikan kepada DBKL atas usaha proaktif yang sebelum ini telah mengeluarkan syarat pembekuan lesen baharu penjualan arak.

“Ketegasan terhadap penjualan minuman keras ini secara tidak langsung dapat mengatasi isu kemalangan jalan raya, kematian, keganasan rumah tangga, penderaan kanak-kanak dan jenayah keganasan.

Di samping itu, ketegasan ini juga dapat membantu dari aspek kesihatan seperti mencegah pe­nyakit kanser serta penyakit lain yang berbahaya,” jelasnya.

Sebagai contoh ujarnya, satu penyelidikan oleh seorang pakar dari Eropah, Peter Anderson terhadap kesan pengambilan alkohol mendapati ia telah menyumbang kepada keganasan dan kes penderaan kepada 40 peratus daripada sembilan juta kanak-kanak.

“Segala kritikan daripada pihak yang cuba memanipulasikan isu ini dengan pelbagai alasan mestilah diabaikan kerana kesan arak sangat jelas membahayakan dan ditegah oleh agama,” katanya.

Katanya, semoga usaha murni ini dapat dicontohi oleh pihak berkuasa yang lain dalam memainkan peranan bagi ke­sejahteraan rakyat biarpun mengambil sedikit masa.

BERITA BERKAITAN