fbpx
Gambar hiasan

Antara berniaga dan mencuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

Keprihatinan Menteri Wilayah yang membenarkan warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan membuka gerai untuk berniaga ternyata memberi sinar kepada golongan yang terjejas untuk ‘bernafas’ semula.

Satu inisiatif yang boleh diberi pujian kepada Tan Sri Annuar Musa. Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga yang bermula pada 15 November lalu membolehkan mereka berniaga di mana-mana kawasan yang sesuai dan ditetapkan.

Hanya perlu memohon lesen perniagaan selama enam bulan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang ditawarkan secara percuma.

Peluang yang diberikan ini bagaikan ‘talian hayat’ kepada mereka yang kehilangan pekerjaan, kesan daripada penularan Covid-19 di negara ini.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial, sebanyak 89,596 kes kehilangan pekerjaan dilaporkan setakat 22 Oktober lalu atau purata hampir 10,000 kes sebulan.

Dalam keadaan sekarang, mencari pekerjaan lain dalam tempoh singkat adalah sesuatu yang agak mustahil, tambahan pula jika sudah berusia dan mempunyai pengalaman kerja yang tidak sesuai.

Maka, berniaga di tepi-tepi jalan untuk mencari rezeki demi kelangsungan hidup anak dan isteri adalah pilihan ramai bagi mereka yang dibuang kerja. Tiada siapa yang mahu menagih simpati atau harapkan bantuan semata-mata.

Tidak hairanlah semakin ramai peniaga mencuba nasib berniaga di jalanan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Jika sebelum ini warga kota berniaga dalam ketakutan kerana bimbang didenda atau gerai dirobohkan pihak berkuasa tempatan (PBT), namun menerusi inisiatif itu, mereka boleh mencari rezeki dengan tenang.

Berniaga di jalanan sebenarnya bukanlah kehendak golongan yang terjejas ini, apatah lagi sebelum ini mereka bergelar eksekutif, berjawatan besar, bergaji lumayan dan berada di awan biru.

Bagaimanapun, angkara Covid-19 yang ‘membunuh’ kerjaya mereka, jalan lain terpaksa dipilih dalam mencari rezeki biarpun pendapatan tidak lagi semewah dahulu.

Namun, mencari rezeki yang halal lebih mulia daripada menjadi seorang pencuri, perompak atau scammer menipu orang lain. Dalam keadaan terdesak, orang baik pun kadangkala boleh menjadi jahat.

Justeru, PBT janganlah terlalu mudah mengambil tindakan keras terhadap peniaga-peniaga di jalanan, sebaliknya ‘bos-bos’ di dalam bilik berhawa dingin perlu memikirkan jalan terbaik membantu golongan terjejas ini.

Kita perlu sama-sama membantu golongan yang terjejas ini dalam mengharungi tempoh yang paling sukar ini.

Inisiatif Wilayah Bebas Berniaga patut diperluaskan konsepnya ke seluruh negara. Benarkan mereka berniaga dan bantulah beli jualan mereka.

BERITA BERKAITAN