fbpx

Lelaki larikan MPV polis dari IPD Taiping ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MPV polis yang dilarikan seorang lelaki selama 20 minit sebelum dia ditahan dalam sekatan jalan raya di Plaza Tol Taiping Utara hari ini.

TAIPING – Tindakan berani seorang lelaki melarikan sebuah kereta unit peronda (MPV) polis mengundang padah apabila polis berjaya menahannya dalam satu sekatan jalan raya berhampiran susur masuk Plaza Tol Taiping Utara di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 7.28 pagi dan polis berjaya menahan suspek kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, sebelum itu suspek memasuki pekarangan ruang letak kereta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dengan menaiki kereta jenis Ford Fiesta.

“Selepas meninggalkan keretanya di ruangan parkir IPD Taiping, suspek bertindak melarikan MPV polis jenis Honda Civic.

“Suspek yang berusia lingkungan 30an dari Selama itu kemudiannya berjaya ditahan polis dalam satu sekatan jalan raya di Plaza Tol Taiping Utara 20 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Osman, suspek kemudian dibawa ke IPD Taiping untuk siasatan lanjut dan motif kejadian masih dalam siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan bermotor,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI