fbpx
Gambar fail pada 31 Julai 2018 menunjukkan Krebs berucap pada Persidangan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Siber di New York, Amerika Syarikat. – AFP

Trump pecat pengarah CISA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Donald Trump kelmarin bertindak memecat pegawai kanan keselamatan pilihan raya Amerika Syarikat (AS) yang menolak dakwaan tidak be­r­asas Presiden AS itu berhubung ‘penipuan besar-besaran’ undi yang menyebabkan beliau tewas kepada calon pencabar Joe Biden dalam perebutan White House.

Trump mengumumkan keputusan ‘pemecatan serta-merta’ ke atas Pengarah Agensi Ke­selamatan Siber dan Keselamatan Infrastruktur (CISA) AS, Chris Krebs melalui Twitter.

Krebs yang mengetuai agensi berkenaan mengeluarkan ke­nyataan bahawa ‘pilihan raya 3 November lalu adalah paling terjamin dalam sejarah Amerika.’

Trump masih enggan me­ngakui bahawa beliau tewas kepada calon Parti Demokrat, Biden dan berulang kali mendakwa tanpa bukti bahawa proses undian serta kiraan undi dipenuhi unsur-unsur penipuan.

“Kenyataan terbaharu oleh Chris Krebs berkait keselamatan pilihan raya 2020 cukup tidak tepat kerana ada kesalahan dan penipuan besar-besaran.

“Oleh itu, dengan serta-merta, Chris Krebs dipecat selaku Pe­ngarah Agensi Keselamatan Siber dan Keselamatan Infrastruktur,” kata Trump melalui Twitter.

Krebs ditugaskan untuk menghalang kemungkinan aktiviti penggodaman dari luar dan tempatan ke atas sistem mesin undi, kiraan, pengasingan undi, pangkalan data serta sistem lain yang digunakan oleh kerajaan negeri dan persekutuan untuk penyelarasan undi.

“Berasa bangga dapat ber­khidmat. Kami lakukannya de­ngan betul. Pertahan hari ini, menjamin esok hari,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­risikan Dewan Perwakilan Parti Demokratik, Adam Schiff berkata, Krebs dan pasukannya telah ‘bekerja seluruh tenaga untuk melindungi pilihan raya’.

“Bukannya memberi ganjaran ke atas khidmat terbaiknya, Pre­siden Trump melakukan sera­ngan ke atas Pengarah Krebs dan pegawai lain yang menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Senator Parti Republikan, Ben Sasse mengeluarkan kenyataan bahawa Krebs melakukan tugas dengan baik dan beliau tidak seharusnya dipecat.

CISA di bawah Krebs pernah mengeluarkan amaran beberapa kali bahawa Rusia dan Iran cuba menceroboh sistem pilihan raya AS, se­perti dakwaan ke atas Rusia pada 2016. – AFP

POPULAR