fbpx
Ab. Malik Seman (kiri) menyiapkan bot gentian yang ditempah di bengkelnya di Kampung Pasir Tumbuh, Gua Musang hari ini.

Rezeki pembuat bot ketika musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Musim tengkujuh memberi sumber rezeki kepada satu-satunya pembuat bot gentian di daerah ini.

Meskipun memulakan usaha membuat bot gentian sejak lima bulan lalu, Ab. Malik Seman, 47, yang tinggal di Kampung Pasir Tumbuh di sini tidak menang tangan menyiapkan tempahan bot terutama daripada penduduk yang tinggal di kawasan pinggir sungai.

Ab. Malik berkata, dengan bantuan Jabatan Perikanan di bawah program My Komuniti Perikanan (MyKP) dia berjaya membina bengkel bot selepas mengikuti kursus.

Katanya, selepas mendapat kemahiran dalam bidang itu, dia bukan sahaja menerima tempahan tetapi juga melatih belia tempatan.

“Proses pembuatan bot fiber ini tidak rumit seperti bot kayu, malah ia lebih tahan lama serta mudah diselenggara apabila mengalami kebocoran.

“Setakat ini, kami berjaya menyiapkan sebuah bot dalam masa satu minggu dan masih banyak lagi yang ditempah dalam pembinaan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Pasir Tumbuh di sini hari ini.

Menurut Ab Malik, ukuran bot yang paling banyak menerima tempahan ialah panjang tujuh meter yang dijual pada RM2,350.

Katanya, tempahan bot gentian sentiasa dibuka dengan mengekalkan harga berpatutan serta mementingkan kualiti untuk jangka masa panjang.

“Bot itu digunakan penduduk untuk perpindahan mereka ketika menghadapi musim tengkujuh.

“Selepas tamat musim tengkujuh ini, penduduk yang bekerja sebagai nelayan sungai akan gunakan bot berkenaan untuk menangkap ikan,” katanya.

Seorang belia kampung, Mohd. Ismail Razali, 35, berkata, dia kagum dengan semangat Ab. Malik yang berani memulakan perniagaan membuat bot gentian di kampung itu.

Katanya, selain daripada boleh belajar kemahiran membuat bot, mereka juga dapat menjana pendapatan untuk keluarga.

“Kebiasaannya sekiranya bot bocor, penduduk terpaksa ke bengkel bot di kawasan Dabong Kuala Krai untuk menyelenggara bot.

“Kini tidak perlu lagi apabila sudah ada bengkel bot di Gua Musang dan sebarang tempahan boleh dibuat melalui laman sosial Facebook, MyKP Pasir Tumbuh,” katanya.-K! ONLINE

POPULAR