fbpx

ASN Imbang 3 Global buka peluang pelaburan luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelancaran dana unit amanah ASN Imbang 3 Global oleh Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) hari ini membuka peluang kepada rakyat Malaysia untuk melabur secara mudah di pasaran antarabangsa.

ASN Imbang 3 Global merupakan unit amanah pertama ASNB yang memiliki portfolio pelaburan di pasaran luar negara.

Ia merupakan unit amanah harga berubah dengan pelaburan permulaan minimum RM10.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, dana berkenaan memberi peluang kepada pelabur tempatan untuk menerima pulangan daripada pelaburan di luar negara, tanpa mereka perlu melakukannya sendiri.

“Ini menjadikan kos pelaburan mereka lebih murah dengan potensi pulangan lebih besar daripada pasaran  antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

ASN Imbang 3 Global dilancarkan oleh Menteri Kewangan yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sempena pelancaran Minggu Saham Digital hari ini.

Sejak ditawarkan dalam pasaran terhad bermula 16 September lalu, sebanyak RM290 juta dana berkenaan telah dilanggan melibatkan lebih 5,000 pelabur.

Menurut Mohammad, tabung ASN Imbang 3 Global yang berada dalam kategori Aset Campuran Imbang, akan melabur dalam portfolio pelbagai yang terdiri daripada sekuriti tersenarai dan tidak tersenarai, pendapatan tetap dan instrumen pasaran tunai.

“Kira-kira 65 peratus daripada Nilai Aset Bersih (NAB) tabung ini akan dilaburkan dalam pasaran ekuiti manakala selebihnya dalam sekuriti pendapatan tetap dan instrumen pasaran wang termasuk aset mudah cair,” katanya.

Penanda aras prestasi yang ditetapkan untuk ASN Imbang 3 Global ialah gabungan prestasi antara MSCI All Country World Index (ACWI) dan Deposit Tetap 12-bulan Maybank.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI