fbpx

Guna sistem barter seludup dadah, ketum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zawawi (tengah) menunjukan sebahagian ganja yang dirampas di perairan Kuala Sanglang pada Ahad lalu.

KANGAR – Sindiket penyeludupan dadah dan ketum dipercayai menggunakan taktik pertukaran barang atau sistem barter di tengah laut bagi membawa masuk dan keluar barangan tersebut ke negara ini.

Aktiviti yang dipercayai turut melibatkan nelayan tempatan dengan menggunakan bot fiber tidak bernombor itu dikesan dilakukan semasa air laut surut.

Kegiatan tersebut melibatkan aktiviti menyeludup keluar ketum yang mendapat permintaan tinggi di negara jiran serta membawa masuk dadah jenis ganja ke negara ini.

Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata,  pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi mengenal pasti lokasi sebenar pertukaran barang itu dilakukan.

Kata beliau, dalam kejadian terbaharu pada Ahad lalu, APMM berjaya merampas 300 kilogram (kg) ketulan mampat dadah jenis ganja di dalam bot fiber tidak bernombor di lokasi kira-kira 2.7 batu nautika dari barat laut pantai Kuala Sanglang.

“Rampasan yang dibuat pada pukul 4.20 pagi itu dilakukan semasa bot peronda APMM mendapat maklumat risikan berkaitan kehadiran bot tersebut.

“Bot itu bertindak menukar haluan ke paya bakau apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum tekong bersama seorang awak-awak terjun ke dalam laut dan berenang ke kawasan paya bakau,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, hasil pemeriksaan menemui 17 bungkusan plastik hitam disyaki ganja seberat 300 kg yang cuba diseludup masuk dari negara jiran.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber serta enjin sangkut dianggarkan sebanyak RM910,000 dan ia merupakan rampasan dadah terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd. Zawawi berkata, serbuan kedua dilakukan pada keesokan harinya melibatkan rampasan kira-kira 1,500 kg daun ketum dengan anggaran nilai RM120,000 pada kedudukan 0.7 batu nautika dari barat muara Kuala Perlis pada pukul 12.15 tengah malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI