fbpx
IMAN TROYE

‘Teman’ Iman Troye kena kecam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMILIKI sejuta pengikut dalam Instagram menjadi faktor yang membantu melonjakkan bakat muda Iman Troye untuk dikenali dalam industri.

Sebelum ini, Iman terlebih dahulu mempesona khalayak apabila kerap memuat naik video nyanyian semula lagu-lagu popular dalam Instagramnya.
Hadir dengan buah tangan sulung ciptaan komposer terkenal Ezra Kong sebagai salam pengenalan karier nyanyiannya, single yang diberi judul Teman sudah dilancarkan secara rasmi pada 16 Oktober lalu.

Video lirik lagu tersebut bagaimanapun diluncurkan terlebih dahulu pada 25 September. Sehingga kini, kedua-dua video berkenaan mencatat lebih angka empat juta tontonan.

Catatan tersebut sesuatu yang cukup dibanggakan, apatah lagi pendendargnya pula orang baharu dalam industri.

Iman turut mengakui perancangannya berhasil apabila menggunakan platform media sosial sebagai medium menjual lagu kepada peminat.

“Sejujurnya saya sangat tidak sangka akan mendapat sambutan hangat daripada peminat. Dalam masa tiga minggu sahaja, jumlah tontonan cecah tiga juta. Kini sudah lebih empat juta tontonan.

Ini sesuatu yang cukup mengagumkan.

“Sebenarnya saya sendiri pun tidak pernah menyangka mampu mencapai mimpi untuk mengeluarkan single sendiri.

“Awalnya saya tiada jangkaan untuk single perdana ini tetapi alhamdulillah kalau sudah namanya rezeki,” ujar Iman menerusi satu temu bual bersama HibGlam baru-baru ini.

MENYANDARKAN genre balada sebagai forte nyanyiannya, Iman enggan bersenang senang dalam zon selesa untuk single pertamanya.

Pahat berbunyi

Namun, seperti bidalan, rumah siap pahat berbunyi. Sejak lagu Teman mula mendapat perhatian ramai dan berkumandang dalam corong radio, muncul pula kritikan negatif yang harus Iman depani.

Itulah hakikat yang perlu dihadam sedalam-dalamnya sebaik memulakan langkah bergelar penyanyi.

Lebih-lebih lagi ketika era teknologi moden kini yang dikuasai media sosial.

Secara langsung membuka ruang untuk banyak perkara negatif lebih dibicarakan berbanding yang positif.

Antara kata-kata jelek yang boleh meruntuhkan emosi seseorang penyanyi tentunya pada aspek suara.

Bagaimanapun, Iman menerima banyak komen positif kerana lagu Teman mudah melekat di telinga pendengar.

Cuma ada suara nakal yang mengejek sebutan tidak begitu jelas.

SEDIH kerana belum sempat bertemu peminat, namun Iman tetap gembira kerana teknologi menghubungkan mereka menerusi penubuhan kumpulan dalam aplikasi Telegram. – XO HOUSE

Ada yang mengejek anak bongsu daripada tiga beradik itu menyanyi dengan suara seperti dikemam.

Ketawa kecil ketika diajukan soalan sedemikian, gadis berusia 19 tahun itu menjelaskan, itulah gaya nyanyian yang sesuai dibawakan untuk lagu Teman yang bergenre rancak.

“Saya terima teguran peminat. Untuk single seterusnya nanti, saya akan perbaiki cara sebutan agar sesuai dengan gaya muzik,” jelasnya ringkas.

Bukan sahaja gaya nyanyian dipertikai, pemilik nama lengkap Iman Alyssa Shahabuddin itu juga dikritik terutama kaum lelaki kerana muzik video rasmi lagu Teman memaparkan isu dianggap sensitif seperti panduan melupakan bekas kekasih.

Tips kelima yang dikongsi dalam video itu mengundang perdebatan apabila menulis men are trash atau bermaksud lelaki semuanya sampah.

Tidak kurang ada yang melontarkan pendapat dengan menyifatkan video muzik Teman sangat klise kerana cuma memaparkan konsep penyanyi menari bersama dua penari latar tanpa ada jalan cerita menarik untuk dipertontonkan.

“Untuk lagu pertama, saya dan label putuskan tidak mahu terlalu melakukan sesuatu yang berat sebaliknya kandungan santai dan ringan untuk dinikmati peminat.

“Sebenarnya video muzik Teman ada jalan cerita tetapi mungkin orang tidak nampak kalau cuma tonton separuh jalan.

“Tips melupakan kekasih yang dikongsikan pun sebenarnya ada pusingan plot pada penghujung video.

“Kalau tengok sampai habis, sepatutnya isu itu tidak patut diperdebatkan,” jelasnya mohon pengertian.

ENGGAN menggunakan nama sebenar, Iman mahu nama Troye yang diambil daripada penyanyi popular Australia, Troye Sivan digunakan sebagai nama pentasnya kerana menunjukkan identiti sendiri.

Bahkan ada juga timbul perbandingan yang dibuat netizen apabila mengatakan gaya nyanyian Iman jauh lebih baik daripada penyanyi Nabila Razali.

Jujurnya, penyanyi bertubuh kecil molek itu mengakui tidak selesa apabila dibanding-bandingkan dengan orang lain. Sementelah kehadirannya dalam industri masih terlalu hijau.

“Saya tidak suka dibandingkan terutama dengan penyanyi lain sebab masing-masing ada kelebihan sendiri untuk diketengahkan,” tuturnya.

Doktor haiwan

Bagi yang belum mengenali siapakah gerangan tuan empunya badan, Iman terlebih dahulu mencipta populariti dalam media sosial apabila kerap membuat lagu nyanyian semula.

Selain menyanyi, dia juga merupakan model dan duta kepada beberapa jenama produk besar seperti pakaian wanita.

Bercakap tentang ambisi atau perancangan hidupnya, penuntut jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu sebenarnya mengimpikan kerjaya sebagai doktor haiwan.

Bakat nyanyiannya mula dihidu sejak di bangku sekolah apabila didorong membuat persembahan oleh gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Ibrahim, Kuala Lumpur.

Iman bersekolah di situ sehingga tingkatan empat sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang.

“Saya mula menyanyi di sekolah dengan menyertai persembahan pada usia 16 tahun. Itu pun selepas didorong oleh guru tetapi pada waktu itu, keluarga tidak begitu merestui minat saya.

“Sehinggalah mereka nampak bakat saya, barulah jalan dipermudahkan.

“Keberadaan saya dalam industri pada hari ini semuanya adalah hasil sokongan orang tersayang,” katanya yang menggemari lagu-lagu lama era 1960-an hingga 1990-an kerana keluarganya sangat menggemari karya seniman agung Tan Sri P. Ramlee.

TAMPIL dengan imej comel dan bijak berfesyen pada usia remaja, Iman mudah menambat hati peminat. Maka tidak hairanlah dia mudah mencipta nama.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN