fbpx

Rama-Rama minimalis Adam Kaktus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADAM KAKTUS

MUNGKIN nama Adam Kaktus belum dikenali ramai. Siapa empunya tuan badan dan juga dari mana datangnya lelaki ini. Barangkali itu adalah persoalan yang timbul tatkala menerima kedatangan penyanyi baharu itu dalam industri. 

Bahkan melihat kepada nama itu yang kelihatan unik dan pelik, pasti ramai yang ingin mengetahui mengapa dia memilih menggunakannya sebagai nama pentas. 

Menurut pemilik nama sebenar Muhammad Adam Zawahir itu, dia memilih perkataan kaktus kerana menyifatkan tumbuhan berkenaan menggambarkan peribadi dirinya. Sifatnya berduri di luar, tetapi isi dalamnya adalah lembut. 

“Bukan itu sahaja, saya mendapat ilham untuk menggunakan nama kaktus setelah mendengar lagu Jacques Dutronc berjudul Les Cactus yang dinyanyikan semula oleh Last Shadow Puppets. 

“Kaktus juga sifatnya boleh bertahan di padang pasir dengan jangka masa yang lama. Saya berharap diri saya mampu menjadi kuat seperti kaktus, boleh bertahan dalam industri untuk jangka masa yang panjang,” katanya penuh makna. 

Mula meminati bidang muzik sejak berusia 14 tahun, sejak dari itu Adam banyak menyertai pertandingan nyanyian. Meneruskan langkah untuk mencari tempat dalam industri, Adam kini tampil mempertaruhkan single terbaharu berjudul Rama-Rama. 

MEMPERKENALKAN nama sebagai Adam Kaktus, Adam mahu perjalanan kariernya dalam industri mampu bertahan lama seperti kerasnya sepohon kaktus.

Minimalis

Lagu berkenaan menceritakketabahan seorang wanita yang bekerja kuat untuk menyara keluarganya setiap hari. Dia tidak memerlukan perhatian masyarakat kerana tahu dirinya mempunyai keunikan dan kecantikan tersendiri. 

Menariknya, Rama-Rama menampilkan konsep lo-fi atau deroom pop yang bermaksud, sesebuah irama dihasilkan menerusi penggunaan alatan muzik murah dan mampu milik.

Lebih istimewa, single keempat itu merupakan hasil ciptaan sepenuhnya daripada Adam sendiri. 

“Di luar negara, konsep sebegini sering mendapat tempat untuk penyanyi-penyanyi muda berkarya. Malah lagu ini dirakam tanpa menggunakan studio yang besar. 

“Pendek kata, penghasilan lagu ini menggunakan kaedah yang sangat minimalis. Menerusi Rama-Rama, saya berharap mampu menarik perhatian peminat muzik tanah air,” ujar Adam yang turut meletakkan sasaran bergelar penyanyi dan komposer disegani suatu hari nanti. 

Sedikit pengenalan profil anak muda itu, Adam terdahulu pernah muncul dengan tiga buah single. Single pertamanya berjudul Sajak Cinta yang menampilkan genre indie pop. 

Kemudian dia meluncurkan single kedua berjudul Sajak Curang yang merupakan sekuel kepada lagu Sajak Cinta. Lagu tersebut membawa nuansa doo wop atau pop yeh yeh.

Sekitar pertengahan tahun lalu, dia muncul dengan lagu ketiga bertajuk Dalam Tidurku yang mempertaruhkan genre pop alternatif. 

Graduan bidang undang-undang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu disifatkan mempunyai karakter vokal dan diri yang sangat unik sekali gus mampu diketengahkan sebagai bakat baharu dalam industri. 

BERHARAP dapat menembusi pasaran arus perdana, Adam tampil mempertaruhkan single keempat hasil ciptaan sendiri berjudul Rama-Rama.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI