fbpx

Isu DCA perlu dibentang kepada MKN – Hishammuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishammuddin

PUTRAJAYA – Kerajaan Negeri Johor perlu membentangkan perancangan berhubung skim ketiga pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura iaitu Daily Commuting Arrangement (DCA) secara terperinci kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perancangan itu juga perlu melibatkan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berikutan perkara itu berkait rapat dengan soal keselamatan dan kesihatan.

“Saya ambil maklum kenyataan Menteri Besar Johor yang menyarankan kepada Kerajaan Persekutuan prosedur operasi standard (SOP) DCA.

“Penting untuk saya nyatakan bahawa keputusan muktamad untuk membenarkan DCA dilaksanakan bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin berkata, Kementerian Luar hanya boleh berunding dengan kerajaan Singapura dalam pelaksanaan DCA selepas keputusan sebulat suara antara MKN, JIM dan KKM dicapai.

“Kerajaan Negeri Johor perlu membentangkan perancangan mereka secara terperinci kepada MKN, JIM serta membincangkannya dengan KKM.

“Hanya apabila MKN, JIM dan KKM sebulat suara memutuskan agar DCA boleh dilaksanakan barulah Kementerian Luar akan memainkan peranan untuk berunding dengan Singapura,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Kementerian Luar telah mengajukan cadangan Kerajaan Negeri Johor supaya tempoh kuarantin bagi rakyat Malaysia yang ingin pulang ke tanah air hanya tujuh hari di pusat kuarantin dan rumah masing-masing kepada KKM untuk maklum balas serta pertimbangan.

Katanya, ia melibatkan rakyat Malaysia yang bukan di bawah kategori Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Beliau sekali lagi menegaskan bahawa Kementerian Luar bukan pihak yang boleh membuat keputusan dalam soal kuarantin.

“Saya menasihatkan agar Kerajaan Negeri Johor berbincang terus dengan KMM berhubung perkara ini,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI