PUTRAJAYA – Seorang pegawai syarikat telekomunikasi direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan sindiket penipuan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Penahanan suspek berusia 49 tahun itu adalah susulan penahanan reman terhadap tiga pengarah syarikat semalam kerana disyaki terlibat dalam kes sama.
Perintah reman sehingga 15 November itu dikeluarkan oleh Majistret Nur Aisyah Mohd. Yusof di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.
Permohonan reman itu dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan pasukan tersebut menjalankan siasatan terperinci ke atas keempat-empat suspek.
Sumber berkata, suspek ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 9 malam, semalam selepas hadir memberikan keterangan.
Menurutnya, suspek disyaki menerima rasuah berjumlah RM300,000 yang diperoleh secara berperingkat melalui akaun peribadinya daripada salah sebuah syarikat.
Difahamkan, suapan itu sebagai balasan mendapatkan senarai nombor telefon pelanggan yang menggunakan pelan prabayar dari tahun 2017 hingga sekarang.
“Nombor telefon yang diperoleh akan digunakan oleh sindiket penipuan penyedia kandungan menerusi SMS dengan mengenakan bayaran langganan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Kosmo! hari ini melaporkan tiga pengarah syarikat termasuk dua daripada mereka bergelar Datuk ditahan reman bagi membantu siasatan kes memberi suapan kepada pegawai-pegawai syarikat telekomunikasi. – K! ONLINE














