KUASA popular BTS tidak boleh disangkal lagi apabila satu demi satu kejayaan berjaya menjadi tanda aras portfolio mereka. Terbaharu, BTS memenangi empat kategori dalam majlis hiburan bertaraf antarabangsa Anugerah Muzik Eropah (EMA) MTV 2020 atau MTV EMA2020 di Sweden baru-baru ini.
Empat ketegori yang dimenangi BTS dalam majlis paling berprestij di Eropah tersebut termasuklah, Lagu Terbaik, Kumpulan Terbaik, Peminat Paling Ramai dan Persembahan Virtual Terbaik.
Kemenangan tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan BTS untuk tahun ketiga berturut-turut sejak tahun 2018 dan 2019.
“Anugerah ini cukup bermakna buat kami. Lagu ini ditujukan buat peminat ketika sama-sama mengharungi waktu sukar,” ujar BTS dalam sebuah video seperti dilaporkan News1.
Bulan lalu, kumpulan yang dianggotai tujuh jejaka itu memenangi kategori Artis Sosial Terbaik untuk kali keempat berturut-turut pada Anugerah Muzik Billboard 2020 bulan lalu.
Pada Anugerah Muzik Video MTV 2020 yang berlangsung pada 30 Ogos lalu, mereka turut memenangi tiga kategori Lagu Pop Terbaik, Artis K-pop Terbaik dan Koreografi Terbaik.
Dalam perkembangan akan datang, BTS dijangka melancarkan album baharu mereka berjudul BE pada 20 November ini.














