fbpx

346 sekolah belum laksana peperiksaan percubaan SPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HABIBAH

PUTRAJAYA – Sebanyak 346 atau 15 peratus daripada 2,350 buah sekolah masih belum melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi tahun ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, untuk itu,  sekolah terbabit diminta untuk berbuat demikian apabila sesi persekolahan bermula pada 20 Januari tahun hadapan.

“Sebanyak 85 peratus atau 2,004 buah sekolah pula telah melaksanakan peperiksaan percubaan dan kementerian merakamkan ucapan terima kasih kepada sekolah dan guru yang buat ujian ini.

“Bagaimanapun semua sekolah telah menghabiskan silibus masing-masing, cuma tidak dapat melaksanakan peperiksaan percubaan kerana berada dalam kawasan PKPB,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat media Pengoperasian Institusi Pendidikan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Habibah berkata, peperiksaan percubaan itu adalah untuk mengukur tahap sebenar murid-murid dan hasil dapatan tersebut akan digunakan oleh guru-guru untuk membantu murid-murid.

Habibah berkata, pihaknya akan menganalisis keputusan peperiksaan percubaan SPM bagi membolehkan kementerian merangka strategi untuk membantu meningkatkan prestasi pelajar.

“Menerusi hasil peperiksaan percubaan SPM yang telah dijalankan, kementerian akan melihat apa subjek yang terkesan dan cara yang boleh dilakukan untuk membantu murid.

“Kita juga akan buat sesi dialog prestasi dengan Jabatan Pelajaran Negeri hujung bulan ini,” katanya.

Sementara itu, Habibah berkata, penjadualan peperiksaan SPM 2020 tidak akan menjejaskan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kemasukan UPU online adalah di bawah Kementerian Pengajian Tinggi dan kita telah ambil kira tempoh peperiksaan (SPM) dan tempoh kemasukan ke universiti,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI