fbpx

Dapat berbual tiga minit dengan Permaisuri Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Athirah menunjukkan geran motosikal yang diterima sumbangan daripada Tengku Permaisuri Selangor.

SHAH ALAM – Penghantar makanan yang tular mengenai kehilangan motosikal ketika bekerja di Batu Caves dekat sini terharu apabila dapat berbual kira-kira tiga minit dengan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin semalam.

Nur Athirah Abdul Latiff, 23, berkata, perbualan menerusi telefon tersebut berlaku ketika dia menerima sumbangan motosikal daripada Tengku Permaisuri Norashikin yang disampaikan oleh Juruiring Polis (ADC) baginda, Inspektor Noor Hidayu Aziz.

Kata anak kedua daripada tiga beradik itu, keprihatinan Tengku Permaisuri Norashikin turut terserlah apabila memberikan semangat dan nasihat agar bekerja dengan tekun dan menjaga ibu dengan sebaiknya.

“Tengku Permaisuri Selangor bertanyakan khabar, memberi nasihat dan memaklumkan bahawa bantuan yang diberikan kepada saya tidak seberapa dan sentiasa menghargai ibu.

“Sumbangan ini jelas bermakna kepada saya dalam mencari pendapatan bagi membantu ibu yang berniaga kecil-kecilan sementara kakak dan adik masih belajar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! semalam melaporkan Tengku Permaisuri Norashikin telah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi berupa sebuah motosikal kepada penghantar makanan itu, Nur Athirah.

Baginda antara lain turut menzahirkan perasaan amat sedih dan terharu apabila membaca berita yang tular mengenai nasib malang yang menimpa Nur Athirah.

Bercerita lanjut, Nur Athirah memberitahu tidak mempunyai sebarang niat meminta bantuan daripada mana-mana pihak ketika memuat naik status di Facebok selepas motosikalnya dicuri di depan pasar raya Batu Caves, dekat sini, Rabu lalu.

Ujarnya, sejak status itu tular telah mendapat beberapa panggilan untuk membantunya termasuk memberikan motosikal baharu dan alat keselamatan sebelum ini.

“Saya hanya berkongsi rasa sedih berikutan kehilangan motosikal yang baharu dibeli pada Julai lalu dengan harga RM12,000 dan ansuran bulanan RM302.

“Sudah tentu, saya amat berterima kasih terhadap sokongan moral dan keprihatinan yang ditunjukkan oleh masyarakat,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI