KLANG – Pasukan Sukarelawan Penyelamat Kecemasan dan Perubatan Bakti Malaysia (PSPKPBM) akan mempergiatkan misi bantuan terutama kepada petugas barisan hadapan bagi mengekang penularan Covid-19.
Timbalan Presiden II Pengurusan PSPKPBM, Datuk Sheeda Romli berkata, pihaknya sudah melaksanakan sebanyak 60 misi bantuan berkenaan di seluruh negara sejak Mac lalu dengan meliputi pelbagai sumbangan termasuk penduduk yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut.
“Kita sebelum ini menyerahkan sumbangan ribuan pelitup muka dan barangan keperluan asas kepada penduduk serta petugas barisan hadapan.
“Menyedari kini wujud gelombang ketiga Covid-19, kita akan meningkatkan usaha bantuan itu bagi meringankan beban golongan tersebut,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan 100 kotak pelitup muka dan 100 bungkusan makanan kepada Timbalan Pengarah Perubatan III HTAR, Dr. Md Razis Ramli.
Ujar Sheeda, pihaknya akan turut menyalurkan sumbangan kepada hospital lain dan agensi keselamatan secara berperingkat dalam mengurangkan beban kos bagi pembelian peralatan perubatan oleh pihak hospital.
Justeru, beliau amat mengalukan kerjasama daripada semua pihak termasuk syarikat korporat untuk menyalurkan sumbangan kewangan dan barangan peralatan perubatan kepada PSPKPBM.
“Segala pertanyaan mengenai program sumbangan itu boleh terus menghubungi saya di talian 011-63926894 atau 011-37683093,” katanya. – K! ONLINE














