fbpx

Laluan terhalang tanah runtuh di Pulau Pangkor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan jalan raya yang runtuh akibat hujan lebat berterusan di Jalan Teluk Ketapang, Pulau Pangkor.

PULAU PANGKOR – Laluan dari Pasir Bogak ke Teluk Nipah di sini terputus apabila sebahagian laluan berbukit di Jalan Teluk Ketapang mengalami runtuhan.

Kejadian yang mengakibatkan jalan raya di bahagian tebing bukit menjadi retak itu berlaku awal pagi tadi dipercayai akibat hujan lebat berterusan sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian 999 daripada seorang lelaki pada pukul 3.25 pagi memaklumkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Teluk Ketapang menghala ke Teluk Nipah.

“Tanah runtuh tersebut telah menyebabkan jalan raya utama yang menghubungkan Pasir Bogak ke Teluk Nipah telah mengalami kerosakan.

“Berikutan itu, pihak bomba, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah dihubungi dan kerja pembaikan akan dilakukan oleh pihak JKR,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan akibat kejadian itu dan buat masa sekarang semua jenis kenderaan tidak dibenarkan melalui jalan tersebut demi keselamatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor, Shah Al Haffiz Mohd Redzuan berkata, pihaknya
membuat pemeriksaan dan pemantauan di lokasi itu bagi memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI